KUALA LUMPUR:Sepucuk surat daripada pejabat Presiden Parti Keadilan Rakyat (Keadilan), Datuk Seri Anwar Ibrahim tular di laman sosial mendakwa mempunyai sokongan dan majoriti kukuh daripada 131 Ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-9.

Kandungan surat itu yang bertarikh 11 Oktober, 2020 berkenaan menggunakan alamat pejabat Presiden Keadilan itu dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Surat terbabit antara lain mendakwa Ahli Parlimen Port Dickson itu mengemukakan warkah ketua-ketua parti politik serta akuan bersumpah Ahli Dewan Rakyat secara persendirian.

"Susulan warkah patik kepada KDYMM Seri Padukan Baginda Tuanku bertarikh 22hb September 2020 (Ruj:POL/001/220920) serta kenyataan media patik pada 23hb September 2020.

"Patik dengan rendah diri pohon menghadap Duli Tuanku di atas tujuan mengemukakan warkah ketua-ketua parti politik serta akuan bersumpah Ahli Dewan Rakyat secara persendirian mengesahkan bahawa patik selaku Ahli Parlimen Port Dickson (P132) telah mendapat dan mempunyai sokongan dan kepercayaan majoiriti yang kukuh dan menyakinkan daripada 131 Ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-9," menurut kandungan surat itu.

Sokongan itu melibatkan Ahli Dewan Rakyat Parti Keadilan Rakyat, UMNO, Parti Amanah Negara, Parti Tindakan Demokratik dan seorang Ahli Dewan Rakyat dan parti lain secara peribadi.

"Maka dengan ini, YAB Tan Sri Datuk Muhyiddin Bin Hj Mohd Yassin, Ahli Parlimen Pagoh (P143) telah dengan jelasnya kehilangan sokongan dan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat selaras dengan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan dan patik telah mendapat dan mempunyai sokongan dan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia KLe-9 selaras dengan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan," menurut kandungan surat itu lagi.

Surat itu turut tertulis bahawa Anwar yakin Ahli Dewan Rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu akan menyusul segera bagi memberi sokongan dan kepercayaan kepada beliau sekaligus menjadikan jumlah sokongan seramai 158 Ahli Dewan Rakyat.

Selaras dengan Perkara 43 (2)(a)Perlembagaan Persekutuan, Anwar memohon agar diberi peluang dan dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-9 bagi menegakkan kestabilan politik negara dan menerajui perkembangan ekonomi negara disamping mengawal penyebaran wabak COVID-19 sehingga tamatnya Sidang Parlimen Ke-14.

Surat berkenaan turut ditandatangani Presiden Keadilan itu. 

Bagaimanapun Astro AWANI sedang cuba mendapatkan pengesahan daripada Pejabat Presiden Keadilan berhubung surat itu.