'Syed Saddiq jangan lupa jasa PH bawa kemenangan di Muar' - Loke

Hilmi Malik
September 10, 2023 09:12 MYT
Loke berkata, kemenangan Syed Saddiq di Muar merupakan hasil kerjasama dan persefahaman dengan Pakatan Harapan (PH). - Gambar/ Bernama
PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman diingatkan agar tidak melupakan jasa Pakatan Harapan (PH) yang telah membantu kemenangannya di kerusi Parlimen berkenaan.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, kejayaan beliau itu merupakan hasil kerjasama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dengan PH.
“Saya perlu ingatkan Syed Saddiq menang (Parlimen Muar) atas kerjasama dan persefahaman bersama PH dan ini bukan kemenangan peribadi beliau.
“Jangan lupa, beliau bertanding di Parlimen Muar di atas persefahaman politik dengan PH, kita berikan enam kerusi kepada MUDA untuk bertanding dan tidak ada pertembungan. PH berikan laluan kepada beliau untuk menang di Muar.
“Dia menang ketika itu juga mewakili blok PH walaupun tidak bertanding atas bendera PH kerana kita tak letakkan calon di sana (Muar) dan ketika itu beliau melawan calon Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN),” katanya.
Loke berkata demikian ketika sidang media selepas hadir Persidangan DAP 2023 di sini, pada Ahad.
DAP sebelum ini menggesa agar MUDA meneruskan sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan.
MUDA baru-baru ini menyatakan hasrat untuk menarik sokongan terhadap kerajaan ketika ini yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perkara itu susulan ketidakpuasan hati MUDA susulan keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi 47 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akal Budi.
Keputusan mahkamah itu susulan tindakan pihak pendakwaan membuat permohonan untuk menghentikan prosiding.
#muda #Anthony Loke #Syed Saddiq #Zahid Hamidi