KUALA LUMPUR : Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang baru dipecat jawatan parti minggu lalu, menempelak keputusan badan tertinggi parti itu mencalonkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai 'poster boy' Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jelas Ahli Parlimen Pasir Salak itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak perlu menggunakan MKT UMNO untuk mengumpan Ismail Sabri yang juga Naib Presiden parti, hanya semata-mata untuk menuntut PRU15 diadakan secepat mungkin.

Lebih mengejutkan, taktik mengumpan Ismail Sabri dengan pencalonan 'poster boy' ataupun bakal calon Perdana Menteri UMNO-BN pada PRU15, didakwa Tajuddin sebagai sebahagian usaha Ahmad Zahid untuk jadi Perdana Menteri segera.

"Tidak payah umpan PM (Perdana Menteri) jadi poster boy pilihan raya untuk UMNO-BN. Hakikatnya tawaran sebegitu dibuat supaya Ismail Sabri segera mengadakan pilihan raya.

"Tujuan Zahid tidak lain tidak bukan hanyalah mahu membolehkan beliau pula menjadi Perdana Menteri," ujar beliau dalam satu sidang media khas di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas punca sebenar beliau dipecat daripada jawatan ahli MKT UMNO pada Rabu minggu lalu.

Berikutan keputusan pemecatan itu, Ahmad Zahid mendedahkan Tajuddin dipecat disebabkan beberapa kenyataan bekas Pengarah Pilihan Raya UMNO itu yang dianggap bertentangan dengan keputusan parti.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pula menjelaskan keputusan pemecatan Tajuddin untuk digantikan dengan bekas Ketua Penerangan BN Selangor, Isham Jalil, adalah bertujuan membolehkan pemimpin veteran parti itu fokus kepada jawatan baharu sebagai Duta Khas Malaysia ke Indonesia.


Artikel asal di Sinar Harian.