KUALA TERENGGANU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor menyatakan tidak semestinya perlu menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) untuk membawa suara wanita Terengganu ke peringkat tertinggi.

Menurutnya, ini kerana kerana sebelum ini beliau yang bertugas sebagai ADUN lantikan mampu melakukan tanggungjawab tersebut dalam usaha memperjuangkan nasib wanita di Terengganu terus terbela.

"Pada Selasa lepas, Menteri Besar Terengganu bersama 10 barisan Exco selesai mengangkat sumpah di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin. Keesokannya pula telah selesai menoktahkan skop tugasan dan portfolio bagi setiap Exco.

"Timbul polemik apabila Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh seakan-akan mempersoalkan mengapa bukan wanita yang mewakili portfolio wanita.

"Bagi saya tidak semestinya menjadi Exco untuk membawa suara wanita Terengganu ke peringkat tertinggi. Jika dahulu, saya selaku ADUN lantikan pun mampu melakukan tanggungjawab tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Sebelum ini, Hannah menyuarakan kebimbangan menerusi ciapan di Twitternya berhubung komposisi Exco kerajaan Terengganu terutama melibatkan perwakilan wanita yang tidak mencukupi.

Hannah mengulas mengenai barisan Exco negeri itu yang menyaksikan hanya Exco lelaki dilantik oleh pucuk pimpinan negeri.

Mengulas lanjut, Zuraida memaklumkan, beliau juga turut dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional sekali gus merupakan satu-satunya ADUN Wanita di Terengganu yang akan menggalas tanggungjawab tersebut.

"Insya-ALLAH selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional akan bergandingan bersama-sama membantu Exco bagi portfolio tersebut iaitu ADUN Ajil, Maliaman Kassim bagi memastikan wanita Terengganu terus terbela.

"Saya akan meneruskan gerak kerja yang telah diasaskan terdahulu antaranya Pusat Autisme Sejahtera Terengganu, Dasar Wanita Terengganu, Majlis Pemuafakatan Wanita Terengganu sebagai pemandu arah selain memastikan fungsi secara penuh Urus Setia Wanita Terengganu," ujarnya.

Dalam pada itu, Zuraida meminta semua pihak mendoakan supaya beliau diberi kekuatan untuk menggalas amanah tersebut.

"Saya amat mengharapkan dukungan daripada semua pihak. Insya-ALLAH, saya akan usahakan yang terbaik demi memastikan hasrat Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera tersebut tercapai malah rakyat dapat menikmati hasil daripada itu," jelasnya.

*Artikel disiarkan di Sinar Harian