KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee menyindir Ahli-ahli Parlimen daripada blok kerajaan kerana didakwa sudah 'tidak sebulu' walaupun Kerajaan Perpaduan baru memasuki 100 hari pentadbiran.

Mengambil contoh dakwaan dibuat oleh Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen, Naib Presiden Bersatu Sabah itu berkata, situasi itu telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli Gabungan Parti Sarawak (GPS) sehingga menyebabkan mereka saling hentam-menghentam.

"Perbahasan (Belanjawan) antara Ahli-ahli Parlimen Sarawak terhadap ucapan Stampin (di mana) (Ahli Parlimen) Serian, Betong, Sri Aman, dan Selangau berucap tentang Stampin... rasa tidak puas hati terhadap Stampin.

"Nampak sedikit hentaman antara ahli GPS dengan blok kerajaan. Baru 100 hari rupanya sudah ada bibit-bibit hentaman antara satu dengan yang lain.

"Rupanya tak semua bunga ros di sana (blok kerajaan), rupanya ada bunga tahi ayam," katanya ketika membahaskan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Isnin.

Bekas Menteri Pertanian dan Industri Makanan itu secara berseloroh menjemput ahli GPS untuk berada di kerusi pembangkang sekiranya tidak senang bersama blok kerajaan.

"Saya cuma nasihatkan Ahli Parlimen GPS, kalau tak puas hati atau tak senang duduk di sana, banyak kerusi di blok sini, boleh sertai.

"Kami di sini satu bantal dan mimpi sama. Di sini tiada rasa sakit jantung dan tak perlu sindir antara satu sama lain," tambah beliau.

Dalam masa yang sama, Ronald mendakwa 'ketidakserasian' antara blok kerajaan itu menunjukkan bahawa Kerajaan Perpaduan yang disifatkan sebagai 'marriage of convenience', boleh mengundang pelbagai konflik.

Terdahulu, Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee meminta agar Chieng Jen membuat permohonan maaf kerana mendakwa Kerajaan Negeri Sarawak di bawah GPS gagal mentadbir negeri itu.

Ketika sesi perbahasan Belanjawan 2023, Rodiyah berkata beliau kesal dengan kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi DAP Sarawak itu.