POLITIK

Tampilkan lebih ramai calon berkualiti jika Pas mahu ketuai pentadbiran negara - Penganalisis

Firdaus Azil 15/09/2025 | 10:56 MYT
Abdul Hadi pernah berkata, Pas memiliki ramai tokoh yang sangat layak untuk menjadi Perdana Menteri terutamanya yang mempunyai latar belakang sebagai ahli akademik dan profesional. - Bernama
KUALA LUMPUR: Pas perlu menampilkan lebih banyak calon yang berkualiti di peringkat Parlimen, jika mereka benar-benar mahu mengetuai pentadbiran negara, kata penganalisis politik Prof Madya Dr Mazlan Ali.

Pensyarah, Pusat Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu berkata, biarpun Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Samsuri Mokhtar sering dilihat sebagai calon Perdana Menteri, namun itu belum memadai untuk memenangi majoriti undi yang diperlukan.

Tegasnya lagi, walaupun Pas pernah menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan sewaktu era Tan Sri Muhyiddin Yassin, namun kemampuan mereka dalam membuat dasar dan polisi masih belum benar-benar teruji kerana tempoh pentadbiran yang agak singkat.

“Setakat ini Pas perlu lebih bekerja keras kerana sepanjang pengalaman Pas menjadi kerajaan yang diterajui oleh Tan Sri Muhyiddin, kebetulan pada bulan Mac 2020 itu lebih kurang 33 bulan selepas itu, negara kita dilanda COVID-19 pada masa itu dan banyak situasi mobilisasi tidak dapat berlaku kerana adanya sekatan-sekatan dan seumpamanya.

“Prestasi menteri Pas dalam kerajaan pada masa itu mungkin dibatasi oleh perkara yang berlaku di sebalik COVID-19. Dan adakah Pas berupaya untuk membawa Malaysia ke arah pencapaian yang cemerlang di peringkat antarabangsa, kerana menerajui kerajaan persekutuan itu bukanlah sama dengan menerajui kerajaan negeri,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian sewaktu bersiaran dalam program Pantau Agenda Reformasi Astro AWANI pada Isnin.

Pantau Agenda Reformasi: Muktamar Pas | Apa yang kita pelajari?


Sewaktu berucap di Muktamar Tahunan Pas ke-17 di Kedah, Presidennya Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang meletakkan sasaran untuk menguasai Selangor, Perak dan Pahang dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

Beliau berkata, sasaran itu adalah sebagai satu langkah untuk memperkukuhkan kedudukan parti bukan sahaja di peringkat negeri-negeri malah melibatkan kerusi-kerusi Parlimen.

Selain itu Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, Pas memiliki ramai tokoh yang sangat layak untuk menjadi Perdana Menteri terutamanya yang mempunyai latar belakang sebagai ahli akademik dan profesional.

Susulan kenyataan itu Muhyiddin, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional berkata, Pas berhak mengemukakan sebarang pandangan dan mengemukakan nama calon Perdana Menteri yang layak dari parti itu.

Namun tegasnya lagi, sebarang keputusan mengenai itu hanya akan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dijangka diadakan minggu hadapan.

Dalam pada itu Mazlan berkata, barisan Menteri Besar di empat negeri pimpinan Pas boleh terus mewujudkan polisi atau program serta penyampaian yang akan merancakkan ekonomi negara.

“Jika boleh ditunjukkan bukti seperti ini, saya fikir, apakah Pas tidak mampu di peringkat antarabangsa … saya fikir boleh saja. Tetapi rakyat ini memerlukan bukti, terutamanya kumpulan peserta dalam politik ini. Mereka perlu pembuktian.

“Kerajaan sekarang, Kerajaan MADANI yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim dari sudut urus tadbir dan juga bagaimana mempromosi Malaysia ke antarabangsa, saya nampak seperti berjaya, dan mungkin boleh meyakinkan rakyat untuk memilihnya untuk penggal akan datang.

“Maka, Pas perlu melakukan lebih banyak usaha demi meyakinkan kelompok yang melihat kejayaan sesebuah parti itu sebagai sebuah parti pemerintah,” katanya lagi.


#Abdul Hadi Awang #PAS #kerajaan Persekutuan #Kerajaan Madani