Skip to main content

Politik

Tarikh bubar DUN Melaka belum ditetapkan - Ab Rauf

Ab Rauf -- Astro AWANI
Ab Rauf berkata beberapa urusan pentadbiran kerajaan negeri perlu diselesaikan terlebih dahulu bagi memastikan segala perancangan berjalan lancar sebelum DUN dibubarkan. - Gambar fail
Advertisement

ALOR GAJAH: Tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka bagi memberi laluan kepada PIlihan Raya Negeri (PRN) masih belum ditetapkan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Ab Rauf yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka berkata beberapa urusan pentadbiran kerajaan negeri perlu diselesaikan terlebih dahulu bagi memastikan segala perancangan berjalan lancar sebelum DUN dibubarkan.

“Saya memberikan indikator DUN Melaka akan dibubarkan dari Jumaat ke Jumaat kerana dalam tempoh itu kita masih ada banyak lagi perkara yang perlu kita selesaikan untuk mentadbir urus negeri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Warga Emas, Hari Orang Kurang Upaya (OKU) dan Hari Kanak-Kanak Peringkat Negeri Melaka 2026 bersempena dengan program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Tanjung Bidara di sini hari ini.

Ab Rauf berkata sebaik sahaja tarikh yang sesuai ditetapkan, perkara itu akan diumumkan kepada media dan rakyat.

Pada Selasa, tular di platform WhatsApp berkaitan dakwaan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam telah menandatangani dokumen pembubaran DUN Melaka bersama Ab Rauf dalam satu pertemuan di Bilik Tamu, Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh.

DUN Melaka mempunyai 28 kerusi dan mandat kerajaan negeri ketika ini berakhir pada 31 Dis ini.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement