POLITICS
Tarikh Kongres Nasional AMK, Wanita Keadilan diselaras semula pada 23 Mei
Fuziah Salleh berkata penyelarasan semula tarikh itu adalah susulan permohonan rasmi yang dikemukakan AMK dan Wanita Keadilan semalam. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Tarikh pelaksanaan Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Kongres Nasional Wanita Keadilan diselaraskan semula pada 23 Mei ini.
Ringkasan AI
- Tarikh Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Kongres Nasional Wanita Keadilan diselaraskan semula pada 23 Mei, berikutan permohonan rasmi yang mengambil kira kekangan logistik dan komitmen kerja perwakilan.
- Majlis perasmian bersama Kongres Nasional AMK dan Kongres Wanita Keadilan akan diadakan pada 8 malam 22 Mei di JB Expo, Berjaya Waterfront Hotel, Johor Bahru.
- Pemilihan Parti 2025 bagi peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan AMK (MPAMK), dan Majlis Pimpinan Wanita Keadilan (MPWK) akan berlangsung pada 23 Mei di Johor Bahru, dengan lokasi pemilihan MPAMK di Berjaya Waterfront Hotel dan MPWK di Danga Bay Convention Centre.
Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh berkata penyelarasan semula tarikh itu adalah susulan permohonan rasmi yang dikemukakan AMK dan Wanita Keadilan semalam, yang mengambil kira kebimbangan terhadap kekangan logistik dan komitmen kerja perwakilan sekiranya kongres diadakan pada 21 dan 22 Mei ini seperti ditetapkan sebelum ini.
"Penyelarasan ini diambil demi memastikan kelancaran pelaksanaan kongres serta memberi ruang yang lebih selesa kepada semua perwakilan untuk menyertai proses demokrasi parti secara aktif dan efektif," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata majlis perasmian bersama Kongres Nasional AMK dan Kongres Wanita Keadilan akan diadakan seperti yang dijadualkan pada 8 malam 22 Mei di JB Expo, Berjaya Waterfront Hotel, Johor Bahru.
Kongres Nasional AMK dan Kongres Nasional Wanita Keadilan akan diteruskan pada 23 Mei ini dari 7 pagi hingga 6 petang di lokasi yang telah ditetapkan.
Pemilihan Parti 2025 bagi peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan AMK (MPAMK) dan Majlis Pimpinan Wanita Keadilan (MPWK) juga akan berlangsung pada hari sama.
Pemilihan MPAMK berlangsung di Berjaya Waterfront Hotel, Johor Bahru manakala pemilihan MPWK di Danga Bay Convention Centre, Johor Bahru.
-- BERNAMA