ALOR SETAR: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hanya boleh diputuskan melalui perbincangan serta persetujuan Kabinet dan bukannya pihak luar termasuk kepimpinan tertinggi UMNO.

Menurutnya, di dalam Kabinet kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, UMNO merupakan kumpulan yang lebih kecil jika dibandingkan dengan wakil dari Perikatan Nasional (PN), serta parti-parti politik dari Sabah dan Sarawak.

"(Tarikh) Pilihan Raya (PRU15) belum diumumkan, semua tidak tahu bila (akan dilaksanakan), Perdana Menteri pun susah nak buat (keputusan apabila berkait dengan) tarikh pilihan raya.

"Tetapi kalau ikut Perlembagaan, (pihak) yang boleh menetapkan adalah Kabinet, Kabinet (yang melakukan perbincangan), (Kabinet pula) bukan majoriti (Ahli Parlimen dari) UMNO, majoritinya adalah Perikatan Nasional, termasuk parti-parti lain, termasuk Sabah dan Sarawak.

"(Atas sebab itu saya nak tegaskan) Perdana Menteri tidak boleh bergantung kepada Resolusi Perhimpunan Agung UMNO (jika nak buat keputusan berkaitan PRU15)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyampaikan ucapan dasar dan merasmikan Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut di sini pada Sabtu.

Dalam perkembangan berasingan, Abdul Hadi menyatakan bahawa parti itu masih di peringkat mendengar pandangan akar umbi berhubung logo yang akan digunakan Pas dalam berhadapan dengan PRU15.

"(Berkaitan penggunaan logo) kita baru (di) peringkat percubaan (iaitu semasa) Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor (dimana kita gunakan) simbol PN.

"(Kita akan) umum tidak lama lagi, (sekarang ini) kita masih mendengar pandangan akar umbi, dalam kalangan akar umbi kita, ada yang mahu kekal logo lama (logo bulan), ada yang nak pakai simbol baharu (Perikatan Nasional), ada (juga yang maklumkan wujud) masalah warna dan sebagainya (jika kita tidak gunakan logo bulan)," katanya lagi.

Sebelum ini, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi menggesa PRU15diadakan dengan segera atau berdepan kekalahan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Menurut Presiden UMNO itu, parti berkenaan sudah lama membuat pendirian tersebut dan kini terpulang kepada pucuk pimpinan kerajaan untuk menyegerakan tuntutan akar umbi dan parti UMNO.