POLITIK
Tengku Zafrul perlukan PRK untuk kekal relevan dalam politik - Penganalisis

Parti politik mana yang sanggup mengosongkan kerusi untuk memberi laluan kepada Tengku Zafrul (foto)? Soal Profesor Dr Wong Chin Huat. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Satu Pilihan Raya Kecil (PRK) diperlukan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz untuk kekal relevan dalam politik.
Ringkasan AI
- Penganalisis politik Prof Dr Wong Chin Huat menyatakan bahawa Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz memerlukan Pilihan Raya Kecil (PRK) untuk kekal relevan dalam politik selepas tempoh sebagai senator tamat pada 2 Disember, namun tiada parti dilihat bersedia mengosongkan kerusi untuk beliau.
- Beliau mempersoalkan keperluan memberi laluan istimewa kepada Tengku Zafrul yang baru aktif dalam politik, sambil menegaskan bahawa UMNO lebih fokus mengekalkan kuota menteri dalam Kabinet berbanding memberi keutamaan kepada Zafrul.
- Jika PRK tidak berlaku, satu-satunya jalan untuk Zafrul kekal dalam arena politik persekutuan adalah melalui pelantikan sebagai duta khas bertaraf menteri, yang dianggap kurang kontroversi berbanding laluan pilihan raya.
“Parti Keadilan Rakyat (PKR) ada 30 Ahli Parlimen dan tak ada siapa yang sanggup mengorbankan jawatan itu,” katanya.
Pensyarah di Universiti Sunway itu juga mempersoal mengapa Tengku Zafrul harus diberi laluan istimewa memandangkan beliau baru saja dikenali sebagai orang politik berbanding imej sebagai seorang teknokrat sebelum ini.
“Adakah rakyat akan menerima? Itu menjadi isu penting, kerana maksudnya adalah kalau rakyat tidak terima, anda boleh adakan PRK tetapi mungkin tidak menang, ataupun menang dengan majoriti yang sangat tipis,” katanya.
Menurut beliau lagi, UMNO juga tidak menunjukkan kerinduan kepada Tengku Zafrul, sebaliknya fokus mereka adalah kuota tujuh menteri di dalam kabinet kekal.
“UMNO tak pernah rindukan (Tengku) Zafrul seperti yang ditunjukkan oleh sesetengah pihak. Apa yang mereka nak pastikan adalah bahawa kuota UMNO itu tidak hilang.
"Asalnya UMNO dapat enam kerusi menteri dalam kabinet berjumlah 29 pada Disember 2022, dan kemudian dalam rombakan Disember 2023, UMNO dapat tujuh daripada 31 kerusi.
“Apa yang UMNO nak pastikan adalah UMNO dapat kekalkan tujuh bilangan itu dan seboleh-bolehnya kekalkan MITI kerana itu satu kementerian yang penting,” katanya.
Chin Huat juga berpendapat Tengku Zafrul tidak mungkin bersedia turun ke peringkat negeri atau menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
“Kalau bukan melalui PRK di peringkat Parlimen, melalui PRK di peringkat Negeri, PKR ada dua negeri dan sudah tentu (Tengku) Zafrul tidak bercadang turun pangkat daripada Menteri MITI untuk jadi ADUN biasa,” katanya.
Beliau juga tidak melihat jawatan Menteri Besar yang ditadbir oleh PKR di dua negeri iaitu Selangor dan Negeri Sembilan akan dikosongkan untuk memberi laluan kepada Tengku Zafrul.
“Menteri Besar mempunyai lebih banyak autonomi daripada menteri di Persekutuan. Sungguh pun prestij menteri ke Persekutuan itu lebih besar, tetapi apabila berlaku rombakan kabinet, menteri itu boleh ditukar bila-bila masa.
"Sebaliknya, kalau anda kekal sebagai Menteri Besar, biasanya anda dapat kekal sampai penghujung penggal.
"Kalau Pakatan Harapan (PH) tidak menerajui Kerajaan Persekutuan selepas PRU16, tiada jaminan bahawa yang jadi menteri persekutuan itu boleh kekal.
"Tetapi kalau anda sebagai Menteri Besar dan anda terus menang, anda boleh jadi terus Menteri Besar,” katanya.
Namun, Chin Huat berpendapat seandainya Tengku Zafrul dilantik selaku duta khas bertaraf menteri, maka isu ini akan dilihat kurang kritikal berbanding berhadapan dengan PRK.
“Saya rasa tanpa PRK, tak mungkin Tengku Zafrul aktif sebagai secara dalam politik, kecuali dengan pelantikan, misalnya, duta khas bertaraf menteri.
"Kalau itu yang berlaku, saya rasa isunya lebih kurang, lebih kecil,” katanya.
Pada 30 Mei, Tengku Zafrul mengumumkan telah menghantar surat peletakan semua jawatan dalam UMNO.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami