POLITIK

[TERKINI] Barisan Kabinet Sabah diumum hari ini?

Astro Awani 01/12/2025 | 04:41 MYT
Sumber sama turut memaklumkan dua timbalan Ketua Menteri dijadual mengangkat sumpah di Istana Seri Kinabalu pada jam 2 petang ini. - Foto Astro AWANI
KOTA KINABALU: Barisan Kabinet Negeri Sabah dilaporkan akan diumum hari ini selepas pelantikan semula Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah bagi penggal kedua.


Ringkasan AI
  • Barisan Kabinet Negeri Sabah diumum hari ini selepas pelantikan semula Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah bagi penggal kedua.
  • Pengumuman barisan Kabinet negeri dijangka pada petang ini dengan jadual angkat sumpah di Istana Seri Kinabalu pada jam 2 petang.
  • Gabungan Rakyat Sabah (GRS) muncul sebagai gabungan terbesar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dengan memenangi 29 kerusi DUN dari 73 kerusi yang dipertandingkan.


Sumber rapat memaklumkan kepada Astro AWANI bahawa pengumuman barisan Kabinet negeri berkemungkinan petang ini.

Sumber sama turut memaklumkan dua timbalan Ketua Menteri dijadual mengangkat sumpah di Istana Seri Kinabalu pada jam 2 petang ini.

Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), secara rasmi mengangkat sumpah awal pagi Ahad di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu.

Menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, GRS muncul sebagai gabungan terbesar apabila memenangi 29 daripada 73 kerusi DUN, diikuti Parti Warisan (25), Barisan Nasional (6), calon Bebas (5), UPKO (3) dan STARSABAH (2).

Perikatan Nasional (PN), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Pakatan Harapan (PH) masing-masing menang satu kerusi.

Tumpuan kini terarah kepada senarai penuh menteri yang akan mengisi portfolio utama, sama ada membabitkan gabungan parti luar GRS atau menyaksikan formasi baharu pasca PRN Sabah ke-17.

Astro AWANI masih mendapatkan pengesahan rasmi berhubung perkara tersebut.

Sementara itu, BN dalam kenyataan terbaharu memaklumkan bersedia untuk bekerjasama serta menyokong pembentukan Kerajaan Negeri yang baharu bawah kepimpinan Hajji.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata kerjasama itu dizahirkan demi memastikan Sabah terus berada dalam landasan kestabilan, kemakmuran dan pembangunan yang berterusan demi rakyat negeri.



#PRN Sabah #angkat sumpah #Hajiji Noor #kabinet #terkini