Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
POLITIK

[TERKINI] Calon PN Karambunai buat laporan polis, dakwa difitnah melalui poster palsu di Facebook

Sinar Harian 20/11/2025 | 00:10 MYT
Aliakbar membuat laporan polis terhadap satu pemilik akaun Facebook di Balai Polis Alam Mesra, Kota Kinabalu, semalam. - Foto Sinar Harian
KOTA KINABALU: Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan membuat satu laporan polis berhubung satu hantaran berunsur fitnah terhadap dirinya yang disiarkan di media sosial baru-baru ini.

Laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama ‘Romeo Ansow’ dibuat di Balai Polis Alam Mesra, di sini, pada Rabu.

Menurut Aliakbar, hantaran berkenaan berniat jahat dan berunsur fitnah memandangkan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) sedang rancak berlangsung.

"Dalam hantaran disebutkan saya seolah-olah berucap dalam kempen dengan perkataan berikut: 'Arak dan judi tidak patut ada di tanah Karambunai, justeru itu saya berusaha menghapuskan arak dan bermula di Karambunai sehinggalah negeri Sabah'.

"Untuk makluman, saya merupakan calon PN Karambunai, hantaran ini seolah-olah dia buat sendiri poster dan tidak diambil dari mana-mana sumber.

"Kalau dia ambil dari tempat lain, saya tidak pasti tetapi memang lengkap tiada sumber mana-mana memang dia sendiri buat, jadi satu fitnah yang besar ketika kita sekarang berkempen," katanya dalan sidang akhbar selepas laporan polis itu dibuat.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Sabah berkata, hasil semakan pada penama akaun Facebook berkenaan mendapati ia dipercayai mempunyai kaitan dengan sebuah parti politik.

"Kalau ikut dari segi susun atur hantarannya sebelum ini, dia merupakan sama ada penyokong atau pencadang kepada calon parti politik yang turut bertanding di Karambunai.

"Saya dedahkan muka dia hari ini dan ini bukan kali pertama dia melakukan fitnah kepada saya tetapi ini adalah kali kedua. Semasa saya menziarahi kematian salah seorang warga bukan Islam, dia memfitnah dengan pelbagai perkara dan saya anggap perkara ini tidak harmoni untuk kita rakyat Sabah.

"Saya rasa ini satu perkara yang sangat tidak relevan dan juga tidak berfakta sedangkan saya membawa satu politik damai, keharmonian dan kepelbagaian agama di Sabah ini," katanya.

Justeru itu, Aliakbar mahu tindakan sewajarnya diambil terhadap pemilik akaun berkenaan. - Sinar Harian





#poster palsu #fitnah #laporan polis #PRN Sabah #Aliakbar Gulasan