SEREMBAN: Istana Hinggap Seremban kembali menjadi tumpuan hari ini susulan perkembangan terbaharu kemelut politik dan pentadbiran Negeri Sembilan.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim dijadual menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir.
Kenderaan yang membawa Ismail, tiba di Istana Hinggap pada sekitara jam 10.47 pagi, manakala kenderaan membawa Tuanku Muhriz tiba 10 minit kemudian.
Pertemuan itu berlangsung sehari selepas Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menggesa Ismail menghadap Tuanku Muhriz bagi mencari jalan penyelesaian terhadap kemelut yang berlaku di negeri itu.
Turut menjadi perhatian, kenderaan yang membawa Undang Luak Sungei Ujong dan Undang Luak Rembau tiba lebih awal di Istana Hinggap.
Kedua-dua Undang berkenaan merupakan antara Undang Yang Empat yang terlibat dalam struktur adat dan institusi pemerintahan Negeri Sembilan.
Perkembangan hari ini berlaku ketika kedudukan pentadbiran negeri menjadi perhatian susulan kemelut membabitkan institusi diraja, Menteri Besar serta barisan Exco Kerajaan Negeri.
Sebelum ini, pelantikan barisan Exco Negeri Sembilan dilaporkan telah dibatalkan, manakala Ismail kekal menjalankan tugas sebagai Menteri Besar.
Kemelut itu turut menyaksikan timbul persoalan mengenai bidang kuasa dan peranan setiap institusi termasuk Menteri Besar, Yang di-Pertuan Besar serta Undang Yang Empat dalam sistem pemerintahan Negeri Sembilan.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi mengenai agenda pertemuan atau perkara yang akan dibincangkan dalam sesi menghadap berkenaan.
Astro AWANI sedang mendapatkan perkembangan lanjut mengenai pertemuan tersebut.