Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
POLITIK

[TERKINI] Isu keselamatan tidak wajar dipolitikkan pada PRN Sabah - Mohamed Khaled

Bernama 16/11/2025 | 05:50 MYT
Mohamed Khaled menjawab pertanyaan media pada Karnival Hari Keluarga Warga ATM di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu hari ini. - Foto Bernama
KOTA KINABALU: Isu keselamatan tidak wajar dipolitikkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kerana ia merupakan perkara penting yang tidak boleh diabaikan atau dikompromi, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.


Ringkasan AI
  • Keselamatan tidak sepatutnya dipolitikkan semasa kempen PRN Sabah menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
  • Mohamed Khaled menegaskan pentingnya memperkuatkan hubungan antara kerajaan Persekutuan dan negeri untuk memastikan tugas anggota keselamatan lancar.
  • Pemahaman yang jelas terhadap tugas ATM penting bagi masyarakat hindari pengaruh sentimen luar yang boleh mengancam keberkesanan anggota dalam menjalankan tugas keselamatan negara.


Beliau menegaskan demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan pihak-pihak tertentu memainkan sentimen keselamatan dalam ceramah kempen PRN Sabah ke-17.

Menurutnya, keselamatan negara adalah kepentingan bersama dan untuk melancarkan tugas anggota keselamatan, hubungan baik antara kerajaan Persekutuan dan negeri perlu sentiasa diperkukuh.

"Jangan ada (pihak) yang hasut membenci Kerajaan Persekutuan kerana itu akan menyusahkan anggota keselamatan dalam menjalankan tanggungjawab menjaga keselamatan," katanya.

Beliau ditemui media selepas merasmikan Karnival Hari Keluarga Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Sepanggar di Stadium Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata kehadirannya ke Pangkalan TLDM Kota Kinabalu itu turut memberi peluang kepadanya meninjau perkembangan pelaksanaan beberapa keputusan yang telah dipersetujui dalam lawatan terdahulu.

Beliau turut memuji penganjuran Karnival TLDM di markas berkenaan yang disifatkannya sebagai platform penting untuk memperkukuh kefahaman warga tentera, keluarga mereka serta masyarakat mengenai peranan keselamatan negara.

Menurut Menteri Pertahanan, pemahaman yang jelas terhadap tugas dan tanggungjawab Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mampu mengelakkan masyarakat, termasuk keluarga anggota, daripada terpengaruh dengan sentimen luar yang boleh menimbulkan perpecahan dan menjejaskan keberkesanan mereka dalam melaksanakan amanah.

-- BERNAMA

#PRN Sabah #isu keselamatan #Mohamed Khaled Nordin #Angkatan Tentera Malaysia #terkini