Ringkasan AI
- Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Perikatan Nasional (PN) untuk menggantung pembatalan pendaftaran parti oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
- Permohonan PN untuk menangguhkan pelaksanaan notis RoS yang menggantung semua kegiatan politik gabungan itu turut diluluskan oleh mahkamah.
- Keputusan ini membolehkan PN bertanding pada Pilihan Raya Negeri Melaka yang dijadualkan berlangsung pada 14 November.
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan Perikatan Nasional (PN) untuk menggantung tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) yang membatalkan pendaftaran parti berkenaan, sementara menunggu semakan kehakiman diputuskan oleh mahkamah.
Hakim Datuk Azizan Md Arshad turut membenarkan permohonan PN, untuk menangguhkan pelaksanaan notis RoS yang menggantung semua kegiatan gabungan politik itu.
Keputusan itu sekali gus memberi laluan kepada PN untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, yang dijadualkan berlangsung pada 14 Nov.
Dalam penghakimannya, Azizan berkata terdapat keadaan luar biasa yang memerlukan penggantungan itu diberikan, dengan mengambil kira peranan pemohon-pemohon dalam aktiviti politik yang menyentuh hak-hak sebagai anggota parti, wakil rakyat atau sebagai ahli Parlimen, seperti yang dihujahkan peguam pemohon-pemohon.
“Mahkamah mendapati tiada sebarang prejudis sekiranya penggantungan ini dibenarkan, kerana pengawasan berterusan terhadap aktiviti politik pemohon atau Perikatan Nasional masih lagi boleh dipantau secara berterusan dan boleh dikuatkuasakan, sekiranya berlaku apa-apa aktiviti politik yang bertentangan dengan perundangan negara.
“Oleh itu, permohonan penggantungan pelaksanaan dibenarkan sehingga pelupusan penuh pendengaran substantif semakan kehakiman ini,” katanya.
BERITA LANJUT MENYUSUL
-- BERNAMA