[TERKINI] Muhyiddin letak jawatan Pengerusi PN. Pimpinan Johor, Selangor, Perak dan Negeri Sembilan ikut langkah sama. Ikuti perkembangan di sini
POLITIK

[TERKINI] Muhyiddin letak jawatan Pengerusi PN

Naz Raseed 30/12/2025 | 00:50 MYT
Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Gambar fail/Sinar Harian
KUALA LUMPUR: [KEMAS KINI] Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkuat kuasa 1 Jan.


Ringkasan AI
  • Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) bermula 1 Januari.
  • Keputusan tersebut diumumkan melalui hantaran di Facebook beliau, disertai dengan ucapan terima kasih kepada kepimpinan PN yang memberikan sokongan selama lima tahun.
  • Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari, mengesahkan hasrat Muhyiddin untuk meletak jawatan demi memberi momentum baru menjelang Pilihan Raya Umum ke-16, dan menyatakan Pas bersedia untuk menampilkan calon sebagai Pengerusi PN yang baharu.


Keputusan itu diumumkan bekas Perdana Menteri itu menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.

"Saya telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026," katanya dalam kenyataan di media sosial itu.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua kepimpinan PN yang telah lama memberikan sokongan kepada saya selama saya memimpin PN sejak penubuhannya lima tahun lalu," tambahnya

Dalam kenyatan tersebut, Muhyiddin turut menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada semua barisan kepimpinan PN dan parti-parti dianggotai.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari dilaporkan turut mengesahkan Muhyiddin telah menyatakan hasrat untuk meletak jawatan sebagai ketua gabungan itu.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berpandangan, keputusan Muhyiddin berundur merupakan tindakan yang bijak dan tepat dalam situasi PN memerlukan momentum baru menjelang Pilihan Raya Umum ke-16.

"Saya yakin Pas akan menampilkan calon dari parti ini untuk menerajui PN sebagai Pengerusi yang baru.

"Tidak semestinya Presiden Parti tetapi seorang individu yang diyakini boleh menggembleng kekuatan parti-parti yang ada di bawah PN," kata beliau seperti dipetik Sinar Harian.

Ahmad Fadhli berkata, rombakan pastinya akan dilakukan terhadap organisasi PN bagi memberikan fokus yang lebih kepada gerak kerja selepas ini.

"Tahniah Muhyidin atas sikap terbuka beliau. Selamat bekerja Pengerusi PN yang baru," tambahnya.







#Muhyiddin Yassin #Perikatan Nasional #Bersatu #PAS