POLITIK

[TERKINI] Pasca PRN Sabah: 17 ADUN angkat sumpah Pembantu Menteri Sabah

Bernama 02/12/2025 | 10:50 MYT
Joniston semasa mengangkat sumpah pada Majlis Angkat Sumpah Pembantu-Pembantu Menteri dan ADUN Dilantik di Istana Seri Kinabalu, Kota Kinabalu. - Sumber foto Sabah News Today
KOTA KINABALU: Sebanyak 17 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah mengangkat sumpah sebagai Pembantu Menteri Sabah di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Musa Aman dalam istiadat di Istana Seri Kinabalu di sini hari ini.


Ringkasan AI
  • 17 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah mengangkat sumpah sebagai Pembantu Menteri Sabah di Istana Seri Kinabalu.
  • 11 ADUN mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) manakala empat ADUN Bebas serta seorang ADUN dari STAR turut dilantik.
  • Komposisi Kabinet Sabah kini terdiri daripada lapan GRS, dan masing-masing satu daripada UPKO, Pakatan Harapan, dan Barisan Nasional.


Sebelas ADUN mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) iaitu ADUN Kiulu Datuk Joniston Bangkuai, Datuk Seri Ruddy Awah (Pitas), Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Datuk Samad Jambri (Labuk), Datuk Limus Jury (Kuala Penyu), Datuk Ruslan Muharam (Lumadan) dan Datuk Hendrus Anding (Tandek).

Selain itu, Datuk Jonnybone J Kurum (Telupid), Datuk Juil Nuatim (Limbahau), Datuk Chong Chen Bin (Tanjong Kapor) dan Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal (Tanjung Batu).

Dalam pada itu, empat ADUN Bebas turut mengangkat sumpah jawatan sebagai Pembantu Menteri iaitu Datuk Fairuz Renddan (Pintasan), Datuk Rina Jainal (Kukusan), Datuk Dr Maijol Mahap (Bandau) dan Jordan Jude Ellron (Tulid).

ADUN Bingkor Datuk Mohd Ishak Ayub daripada Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) turut mengangkat sumpah sebagai Pembantu Menteri, bagaimanapun dilaporkan sebelum ini STAR menolak untuk menyertai kerajaan negeri dan penyertaan Mohd Ishak adalah melalui kapasiti peribadi dan bukan parti.

Seorang lagi Pembantu Menteri yang mengangkat sumpah ialah Datuk Caesar Mandela Malakun iaitu seorang ADUN dilantik yang turut mendapat watikah pelantikannya daripada Tun Musa pada istiadat sama.

Lima individu lain yang menerima watikah lantikan sebagai ADUN dilantik ialah Datuk Mohamed Razali Mohamed Razi, Datuk Chin Shu Ying, Datuk Roger Chin Ken Fong, Grace Lee Li Mei dan Datuk Abdul Kassim Razali.

Berdasarkan Perkara 14 (1) Perlembagaan Sabah, Yang Dipertua Negeri Sabah boleh melantik tidak lebih enam individu sebagai ADUN dilantik dalam Dewan Undangan Negeri Sabah.

Pada awal pagi Ahad lepas, Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri ke-17. Semalam, 10 ADUN mengangkat sumpah sebagai anggota Kabinet negeri di hadapan Tun Musa di Istana Seri Kinabalu.

Ini menjadikan komposisi Kabinet Sabah terdiri daripada lapan GRS manakala masing-masing satu daripada Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO), Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Pada PRN Sabah ke-17 Sabtu lepas, GRS memperoleh 29 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri dipertandingkan.

Parti Warisan (Warisan) mendapat 25 kerusi diikuti Barisan Nasional (enam), Bebas (lima), UPKO (tiga), STAR (dua) manakala Perikatan Nasional, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat dan Pakatan Harapan masing-masing menang satu kerusi.

-- BERNAMA

#PRN Sabah #angkat sumpah #Pembantu Menteri Sabah #Hajiji Noor #Musa Aman #terkini