[TERKINI] Muhyiddin letak jawatan Pengerusi PN
POLITIK

[TERKINI] Pemuda PN tuntut konsensus penuh susulan peletakan jawatan Muhyiddin

Astro Awani 30/12/2025 | 03:00 MYT
PEMUDA PN: Walaupun setiap parti komponen berhak menyatakan pandangan masing-masing, pendirian gabungan mestilah dimuktamadkan secara konsensus oleh semua parti komponen.
KUALA LUMPUR: Pemuda Perikatan Nasional (PN) menegaskan bahawa semua keputusan yang dibuat atas nama PN mesti dirujuk, dibincangkan dan diputuskan secara konsensus oleh semua parti komponen melalui Majlis Tertinggi PN.

Dalam kenyataan bersama hari ini, pendirian itu dinyatakan susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN.

"Sebarang keputusan atau pendirian rasmi PN bukan hak mutlak mana-mana parti komponen untuk ditentukan secara unilateral, sebaliknya perlu dirujuk dan diputuskan bersama selaras dengan Fasal 13 Perlembagaan PN.

"Walaupun setiap parti komponen berhak menyatakan pandangan masing-masing, pendirian gabungan mestilah dimuktamadkan secara konsensus oleh semua parti komponen demi menjaga kestabilan dan keharmonian dalam gabungan itu," tegas Pemuda PN.

Dalam masa sama, Pemuda PN menggesa kepimpinan di semua peringkat supaya mengamalkan politik berteraskan hikmah, kebijaksanaan serta memelihara adab dan etika gabungan, bagi merealisasikan agenda yang lebih besar demi kesejahteraan rakyat dan masa depan Malaysia.

Kenyataan media bersama itu dikeluarkan oleh Hilman Idham, Ketua ARMADA BERSATU Malaysia; Lee Boon Shian, Ketua Pemuda Nasional GERAKAN; dan Justin Prabakaran, Ketua Pemuda Kebangsaan MIPP.

Ia sebagai pendirian rasmi tiga Ketua Pemuda parti komponen PN berhubung isu kepimpinan tertinggi gabungan tersebut.







#Perikatan Nasional #Muhyiddin Yassin #Pemuda PN #letak jawatan