TERKINI! PM umum Menteri, Guan Eng Menteri Kewangan, Mat Sabu Pertahanan, Muhyiddin KDN

Astro Awani
Mei 12, 2018 07:47 MYT
Sebelum ini, Tun Mahathir telah mengumumkan akan mendedahkan kabinet baharu di bawah pentadbiran beliau yang bermula pada Khamis. - Gambar fail
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan tiga Menteri dalam Kabinet baharu pentadbiran beliau di satu sidang media khas di ibu pejabat Pakatan Harapan di Bangunan Yayasan Selangor di Petaling hari ini.
Lim Guan Eng dari DAP dilantik sebagai Menteri Kewangan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dari PPBM sebagai Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Mohamad Sabu (AMANAH) sebagai Menteri Pertahanan.
Sebelum ini, Tun Mahathir telah mengumumkan akan mendedahkan kabinet baharu di bawah pentadbiran beliau yang bermula pada Khamis.
Wakil dari Sabah dan Sarawak bakal dilantik dalam Jemaah Menteri di bawah pentadbiran Tun Mahathir,.
Tun Mahathir turut menegaskan pengumuman barisan Kabinet akan dibuat pada bila-bila masa.
Perdana Menteri turut mengumumkan Majlis Penasihat dianggotai oleh pakar ekonomi dan ahli akademik termasuk Tan Sri Zeti Akhtar, Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Robert Kuok, Dr Jowo Kwame Sundaram dan Tan Sri Hassan Merican.
Diketuai Tun Daim, Majlis Penasihat tersebut akan bertanggungjawab merangka dan membentuk prasarana ekonomi negara untuk 100 Hari pertama pentadbiran Tun Mahathir.
Sekretariat Majlis Penasihat ini akan diselia oleh pakar ekonomi Dr Muhammed Abdul Khalid dan ikon wartawan, Datuk A.Kadir Jasin.
#A Kadir Jasin #Amanah #Daim Zainuddin #DAP #kabinet #Lim Guan Eng #Mahathir Mohamad #menteri #Mohamad Sabu #Muhammed Abdul Khalid #Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #PPBM