Skip to main content

Politik

[TERKINI] PN sahkan sertai PRN Johor

Ahmad Samsuri, Perikatan Nasional
Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata dengan kerjasama semua pihak serta sokongan rakyat, PN akan terus membawa agenda pentadbiran yang stabil, bersih dan prihatin demi masa depan Johor dan Malaysia yang lebih baik.

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) mengesahkan bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata PN akan memasuki gelanggang PRN Johor dengan penuh tanggungjawab, matang dan profesional serta meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

"Saya juga berharap seluruh jentera dapat mengelakkan sebarang bentuk provokasi melampau, politik kebencian dan perpecahan, sebaliknya menampilkan politik yang lebih tenang, berfakta dan berorientasikan solusi," kata beliau menerusi satu hantaran di Facebook rasmi PN hari ini.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata dengan kerjasama semua pihak serta sokongan rakyat, PN akan terus membawa agenda pentadbiran yang stabil, bersih dan prihatin demi masa depan Johor dan Malaysia yang lebih baik.

"Pilihan raya bukan sekadar pertandingan politik, tetapi medan untuk menawarkan penyelesaian yang lebih baik kepada rakyat khususnya dalam isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi negeri, integriti pentadbiran dan masa depan negara.

"Sehubungan itu, saya menyeru seluruh kepimpinan, jentera dan ahli-ahli parti komponen Perikatan Nasional agar memberikan fokus sepenuhnya terhadap persiapan menghadapi pilihan raya ini dengan semangat kebersamaan, disiplin serta kesatuan tindakan," tambahnya dalam kenyataan itu.

Kenyataan itu dibuat selepas pengumuman pembubaran DUN oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam satu sidang media khas di kediaman rasminya di Saujana, Johor Bahru hari ini.

Onn Hafiz dilaporkan berkata, pembubaran DUN itu dilakukan selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, Barisan Nasional (BN) memenangi 40 kerusi Dewan Undangan Negeri, diikuti Pakatan Harapan (PH) dengan 12 kerusi, dan Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi.


 

Must Watch Video

Advertisement