[TERKINI] PRN Sabah: 1,827 pengundi awal di Lahad Datu laksana tanggungjawab hari ini
![[TERKINI] PRN Sabah: 1,827 pengundi awal di Lahad Datu laksana tanggungjawab hari ini [TERKINI] PRN Sabah: 1,827 pengundi awal di Lahad Datu laksana tanggungjawab hari ini](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/61764033089_tbpengundiawa.jpg)
Pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu melaksanakan tanggungjawab mengundi pada Selasa. - Gambar Astro AWANI
LAHAD DATU: Tujuh saluran mengundi dibuka di bawah Parlimen Lahad Datu melibatkan empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi proses pengundian awal melibatkan 1,827 pengundi.
Ia melibatkan lima lokasi pengundian awal dengan dua lokasi dan satu saluran di DUN Tungku, satu lokasi dua saluran (DUN Silam), satu lokasi satu saluran (DUN Kunak) dan satu lokasi dua saluran (DUN Segama).
Bagi DUN Segama, proses pengundian awal berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu membabitkan 651 pengundi.
Ia membabitkan pegawai dan anggota polis IPD Lahad Datu dan pasangan serta pasukan keselamatan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dan pasangan.
Secara keseluruhan, DUN Segama merekodkan 29,840 jumlah daftar pemilih dengan jumlah pengundi berusia 21 hingga 29 tahun mencatatkan jumlah tertinggi dengan 8,207.
Bagi PRN17, DUN Segama menyaksikan saingan tujuh penjuru dengan Datuk Mohamaddin Ketapi (Bebas) akan mempertahankan kerusi itu untuk penggal kedua.
Mohamaddin bakal berdepan saingan enam calon lain membabitkan Muhammad Abdul Karim (Warisan), Alif Afiandy Ali (Bebas), Ehtisham Ur Rahman Mhaulaha (PIS), Norman Kasimin (Bebas), Romansa Lamin (PH) dan Yvonne Yong Yit Phung (SAPP).
Pada PRN16, Mohamaddin yang bertanding atas tiket Warisan memperoleh 4,864 undi dengan 2,168 majoriti dalam saingan lapan penjuru.
Proses pengundian awal bagi PRN Sabah ke-17 bermula secara rasmi jam 8 pagi tadi, melibatkan seramai 24,426 pengundi awal di seluruh negeri.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan sebanyak 58 pusat pengundian awal dibuka hari ini, yang melibatkan 11,697 anggota tentera dan pasangan serta 12,729 anggota polis dan pasangan.
Pusat-pusat pengundian akan ditutup secara berperingkat mengikut jadual ditetapkan SPR.
Untuk berita terkini PRN Sabah ke-17, sila layari Sabah Memilih.
Boleh juga cuba kuiz personaliti PRN Sabah 2025 di sini Rise of the Voters.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

