[TERKINI] PRN Sabah: 4 rukun, 16 strategi - Apa menarik mengenai manifesto GRS?
![[TERKINI] PRN Sabah: 4 rukun, 16 strategi - Apa menarik mengenai manifesto GRS? [TERKINI] PRN Sabah: 4 rukun, 16 strategi - Apa menarik mengenai manifesto GRS?](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/61763368317_TBHajiji.jpg)
Manifesto yang dilancarkan Hajiji selaku Pengerusi GRS adalah deklarasi aku janji, komitmen dan perancangan strategik gabungan berkenaan kepada rakyat Sabah. - fotoBERNAMA
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah melancarkan manifesto bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, yang menampilkan satu gagasan, empat rukun dan 16 strategi pembangunan komprehensif sebagai landasan hala tuju negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.
Manifesto yang dilancarkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Pengerusi GRS itu adalah deklarasi aku janji, komitmen dan perancangan strategik gabungan berkenaan kepada rakyat Sabah yang akan menentukan pembentukan kerajaan menerusi pengundian pada 29 November ini.
Manifesto GRS bertemakan 'Rumah Kita, Kita Jaga - Tanah Air Maju, Rakyat Berkemajuan'.
Klik untuk mula bermain!: https://pulse.astroawani.com/kuiz-personaliti-prn-sabah-2025
Ini Empat Rukun dan 16 Strategi Manifesto GRS:

Foto GRS
Rukun 1: Sabah First
- Meneruskan ketegasan dalam pelaksanaan segera hak-hak Sabah di Bawah Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
- Usaha mendapatkan hak berperlembagaan Pemberian Khas (Special Grant) 40 peratus hasil bersih dikembalikan kepada Kumpulan Wang Disatukan Negeri.
- Menegakkan kedaulatan dan mempertahankan keselamatan dan integriti sempadan wilayah.
- Menekankan keperluan memaknai autonomi wilayah.

Foto GRS
Rukun 2: Sabah Forward
- Memperkukuhkan sumber ekonomi melalui penerokaan kepelbagaian khazanah seperti potensi Ekonomi Digital dan Pemerdagangan Kredit Karbon.
- Mencipta sumber pendapatan masa depan melalui pewujudan Dana Pelaburan Masa Depan Anak Sabah (Sabah Sovereign Wealth Fund) dengan suntikan modal permulaan daripada rizab negeri dan tambahan tahunan daripada hak Pemberian Khas 40 peratus.
- Meningkatkan pelaburan asing dan domestik serta meneroka peluang serta potensi ekonomi Sabah di peringkat antarabangsa.
- Memacu penyertaan bermakna, kebolehpasaran dan pendapatan bermaruah anak Sabah dalam pelbagai sektor ekonomi dan pekerjaan melalui agenda pembangunan modal insan untuk mempertingkat sosioekonomi rakyat.
Rukun 3: Sabah Prosper
- Merintis usaha menggandakan penjanaan kutipan hasil negeri mencecah sasaran RM10 bilion.
- Menyelesaikan isu-isu infrastruktur asas yang diwarisi iaitu bekalan air, elektrik dan jaringan hubungan jalan raya dan Komunikasi.
- Menangani isu-isu utama yang diwarisi seperti kemiskinan, keperluan khas golongan rentan, peluang pekerjaan, perumahan, pengurusan bencana, pemodenan bandar dan transformasi daerah-daerah kurang membangun.
- Melaksanakan reformasi kerangka perundangan dan institusi ke arah persekitaran yang mampan, progresif dan berintegriti serta tadbir urus yang baik termasuk penetapan had maksimum Ketua Menteri untuk dua penggal.

Manifesto GRS dibentangkan oleh Timbalan Setiausaha Agungnya, Datuk Armizan Mohd Ali
Rukun 4: Sabah United
- Meraikan kepelbagaian dan menghormati hak serta kepentingan setiap kaum dan agama.
- Menekankan prinsip inklusiviti untuk memastikan setiap anak Sabah dan segmen masyarakat diberikan akses dan peluang yang saksama dalam peningkatan mobiliti sosial dan tiada golongan yang terpinggir.
- Memupuk nilai kekitaan dan tanggungjawab bersama dalam memperjuangkan agenda Sabah First (Sabah Diutamakan) serta gagasan Rumah Kita, Kita Jaga.
- Memaknai keberadaan GRS sebagai platform menyatukan parti-parti lokal bagi membina kestabilan politik, negeri, sekali gus memperkukuhkan kuasa politik Sabah dalam Persekutuan Malaysia.
Dapatkan berita terkini dan info interaktif PRN Sabah 2025 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

