[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
POLITIK

[TERKINI] PRN Sabah: Alif Afiandy janji hapus kemiskinan, pulihkan peranan wakil rakyat di Segama

Syaff Syukri 24/11/2025 | 05:38 MYT
ALIF AFIANDY: Di sini masih banyak orang susah. Itu yang patut kita bantu. Sebagai wakil rakyat, kita tidak boleh biarkan rakyat hidup susah. Sebab, nanti di akhirat kita yang akan dipertanggungjawabkan. - Foto Astro AWANI
LAHAD DATU: Calon Bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama, Alif Afiandy Ali, bertekad menjadikan peranan wakil rakyat lebih dekat dengan masyarakat jika diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.

Alif Afiandy yang berdepan saingan enam calon lain menegaskan, penyertaan beliau pada PRN Sabah ke-17 ini bertujuan memulihkan fungsi sebenar seorang wakil rakyat.

“Tujuan saya bertanding pada kali ini adalah untuk mengembalikan fungsi wakil rakyat sebenar.

“(Apabila) mereka (wakil rakyat) perlukan undi, mereka akan (berusaha) meraih undi lima tahun sekali. Jadi, kita mahu cuba tukar fungsi wakil rakyat itu,” katanya.

Menyentuh mengenai generasi muda, Alif Afiandy berkata golongan tersebut di Segama masih kurang terdedah kepada pelbagai bantuan kerajaan yang sepatutnya dapat membantu mereka berkembang, khususnya melalui agensi seperti Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Katanya, terdapat pelbagai skim dan geran ditawarkan, termasuk pinjaman sehingga RM100,000 dengan bayaran balik hanya RM30,000, namun maklumat itu tidak disampaikan secara menyeluruh kepada masyarakat setempat.

“Anak-anak muda di Segama perlu tahu peluang ini. Jabatan kerajaan sebenarnya banyak membantu, tetapi pendedahan tidak meluas.

“Jika diberi mandat, kita mahu semua jabatan turun bersama rakyat, buka ruang, buat penerangan dan bimbing masyarakat Segama,” katanya.

Menjelaskan keutamaannya sekiranya dipilih, Alif Afiandy berkata, isu kemiskinan akan menjadi fokus utama beliau kerana masih ramai penduduk di Segama hidup dalam keadaan serba kekurangan.

“Perkara pertama yang akan saya selesaikan pada kali ini jika Allah memilih saya untuk duduk sebagai pemimpin (adalah) menghapuskan golongan fakir miskin di seluruh DUN Segama.

“Di sini, masih banyak orang yang susah. Itu yang patut kita bantu. Sebagai wakil rakyat, kita tidak boleh membiarkan rakyat hidup susah. Tidak boleh. Sebab, nanti di akhirat kita yang akan dipertanggungjawabkan,” tambahnya.

Selain Alif Afiandy, DUN Segama turut menyaksikan persaingan membabitkan penyandang, Datuk Mohamaddin Ketapi (Bebas), Muhammad Abdul Karim (Warisan), Ehtisham Ur Rahman Mhaulaha (PIS), Norman Kasimin (Bebas), Romansa Lamin (PH) dan Yvonne Yong Yit Phung (SAPP).

Pada PRN16, Mohamaddin yang bertanding atas tiket Warisan, berjaya memperoleh 4,864 undi dengan 2,168 majoriti dalam saingan lapan penjuru.




#DUN Segama #PRN Sabah #Alif Afiandy Ali #calon Bebas PRN Sabah