POLITIK

[TERKINI] PRN Sabah: Bakal calon diingatkan serah kertas penamaan mulai 9 hingga 10 pagi - SPR

Bernama 13/11/2025 | 06:15 MYT
SPR mengingatkan semua bakal calon serta parti politik terlibat sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan dikeluarkan. - Gambar hiasan
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengingatkan semua bakal calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 untuk menyerahkan kertas penamaan calon bermula 9 hingga 10 pagi pada Sabtu ini.


Ringkasan AI
  • Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengingatkan bakal calon PRN Sabah ke-17 perlu serahkan kertas penamaan calon pada Sabtu ini di 25 Pusat Penamaan Calon.
  • Calon perlu memastikan pembayaran deposit bahan kempen serta dapatkan kebenaran penggunaan simbol parti sebelum penyerahan kertas penamaan.
  • SPR menetapkan pengundian PRN Sabah pada 29 Nov dan undi awal pada 25 Nov untuk memastikan proses pilihan raya berjalan lancar.


Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus berkata kertas penamaan calon itu hendaklah diserahkan kepada pegawai pengurus pilihan raya di 25 Pusat Penamaan Calon oleh pihak calon, pencadang dan penyokong.

"... atau diserahkan oleh mana-mana dua orang daripada mereka atau mana-mana seorang daripada mereka," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau juga menyarankan bakal calon yang ingin bertanding supaya mengisi borang dan membuat semakan awal dengan pejabat pegawai pengurus atau pejabat PRN Sabah sebelum hari penamaan serta membuat pembayaran deposit lebih awal.

"Resit pembayaran hendaklah dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti pembayaran," katanya.

Selain itu, Khairul Shahril berkata bakal-bakal calon mewakili mana-mana parti politik hendaklah mengemukakan surat kebenaran penggunaan simbol parti yang diwakili apabila membuat penyerahan kertas penamaan calon.

Calon-calon yang telah membayar deposit bahan kempen pilihan raya adalah tertakluk kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan (PBT).

Khairul Shahril juga mengingatkan semua bakal calon serta parti politik terlibat sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan dikeluarkan SPR, PBT dan Polis Diraja Malaysia bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar.

SPR menetapkan hari pengundian PRN Sabah ke-17 pada 29 Nov manakala undi awal pada 25 Nov.

-- BERNAMA

#PRN Sabah #SPR #kertas penamaan calon #Suruhanjaya Pilihan Raya #terkini