[TERKINI] PRN Sabah: “Belia kini lebih kritis, pilih parti yang tegas isu integriti” - Yusof Apdal
![[TERKINI] PRN Sabah: “Belia kini lebih kritis, pilih parti yang tegas isu integriti” - Yusof Apdal [TERKINI] PRN Sabah: “Belia kini lebih kritis, pilih parti yang tegas isu integriti” - Yusof Apdal](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/51764165174_tbMohammadYusofApd.jpg)
Menurut calon Warisan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Silam, Datuk Mohammad Yusof Apdal, kecenderungan itu ketara terutama menjelang musim pilihan raya. - Foto Astro AWANI/Syaff Shukri Jalil
LAHAD DATU: Golongan belia hari ini semakin kritis dan tidak lagi terikat kepada kesetiaan politik tradisional, sebaliknya memilih untuk menyokong parti yang tegas menangani isu-isu yang dianggap penting kepada mereka.
Ringkasan AI
- Belia hari ini cenderung menyokong parti berdasarkan isu-isu penting seperti integriti dan tata kelola, bukan sekadar label politik tradisional, kata calon Warisan DUN Silam, Datuk Mohammad Yusof Apdal.
- Politik generasi muda kini lebih fokus pada isu-isu semasa yang memberi kesan langsung kepada kehidupan harian, seperti peluang pekerjaan, berbanding hanya pada janji-janji jangka panjang.
- Yusof menekankan kepentingan bagi rakyat mencari kerajaan yang mampu membawa Sabah maju ke hadapan, serta menyatakan persaingan sengit dalam mempertahankan kerusi DUN Silam pada PRN16.
“Belia sekarang bukan menyokong parti, mereka menyokong isu. Bila timbul isu yang tidak baik, mereka akan tengok parti mana yang betul-betul berjuang menentang perkara itu.
“Macam contoh (isu) rasuah, kalau (sesuatu) parti itu tegas dan konsisten, mereka akan cenderung (untuk) menyokong,” katanya ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini.
Yusof yang juga Ahli Parlimen Lahad Datu berkata, politik generasi muda kini juga bergerak mengikut apa yang berlaku di sekeliling mereka, bukan semata-mata janji jangka panjang.
Malah mereka, katanya, lebih berminat mengambil peranan dalam isu-isu semasa yang memberi kesan langsung terhadap kehidupan seharian.
“Belia kita idealis, banyak juga yang berfikiran kritis yang tentunya (kalau) melihat kepada mereka, seolah olah (mereka) lebih tahu daripada kita tentang apa yang perlu dibuat.
“Maka itu kita dengar keluhan mereka dan banyaklah juga yang mengeluh tentang peluang pekerjaan tidak banyak (bukan semata-mata) tentang nak rekreasi atau bersukan.
“Ia lebih kepada peluang pekerjaan sebab itu kami di Parti Warisan akan berusaha ke arah itu. Kalau rakyat mahu peluang pekerjaan dan mahu perubahan, mereka perlu mencari kerajaan yang betul-betul boleh membawa Sabah maju ke depan,” katanya lagi.
Dalam saingan mempertahankan kerusi DUN Silam yang dimenangi Warisan pada PRN16, Yusof akan berdepan saingan lapan calon lain.
Ia membabitkan Musa Mabul (BN), Datuk Mizma Appehdullah (GRS), Borkes @ Balkis Kalinggalan (PN), Abd Halim Sidek Gulam Hassan (PH), Amat Kawoh @ Abd Rahman (Bebas), Mohammad Enriquez (SPP), Brahim Bisel (PIS) dan Mohd Syafiq Iqhmal Saharudin (PKS).
Pada PRN16, Warisan menerusi Dumi Masdal berjaya memperoleh 5,200 undi dengan 1,542 majoriti dalam saingan enam penjuru.
Dapatkan berita terkini dan info interaktif PRN Sabah 2025 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

