[TERKINI] Penamaan Calon PRN Sabah Bermula – Siapa Bakal Bertanding? Ikuti Perkembangan Terkini di Sini!
POLITIK

[TERKINI] PRN Sabah: Belum ada perbincangan calon Ketua Menteri - Bung Moktar

Syaff Syukri 15/11/2025 | 06:26 MYT
Bung Moktar menandatangani borang penamaan calon di Pusat Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke -17 di Dewan Sri Lamag hari ini. - Gambar/ Bernama
KINABATANGAN: Tiada sebarang perbincangan mengenai calon Ketua Menteri Sabah setakat ini, tegas calon Barisan Nasional (BN) dan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, Datuk Seri Bung Moktar Radin.


Ringkasan AI
  • Tiada perbincangan mengenai calon Ketua Menteri Sabah setakat ini, menurut Datuk Seri Bung Moktar Radin; keputusan hanya akan dibuat selepas pilihan raya.
  • Bung Moktar menekankan keperluan hubungan kerjasama antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan untuk memastikan pembangunan Sabah berjalan lancar.
  • Beliau menyatakan perlunya perbincangan lanjutan mengenai Perjanjian Malaysia 1963 walaupun keputusan mahkamah telah ada, kerana kerjasama antara pemimpin negeri dan Persekutuan penting bagi pembangunan negeri.


Menurut Bung Moktar, perbincangan dan pemilihan Ketua Menteri hanya akan diputuskan selepas keputusan pilihan raya diumumkan.

“Tidak ada (perbincangan). Cuma kita lihat siapa parti yang menang besar. Saya tengok peluang dia untuk jadi Ketua Menteri memang tinggi,” katanya.

Bung Moktar ditemui media selepas pelancaran jentera BN bagi DUN Lamag dan DUN Sukau, di sini, pada Sabtu.

Selain itu, Ahli Parlimen Kinabatangan itu turut menegaskan keperluan hubungan yang kukuh antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan Sabah terus menerima pembangunan.

Katanya, mana-mana negeri yang tidak mempunyai kerjasama baik dengan kerajaan Pusat akan berdepan kesukaran dalam memastikan pelaksanaan projek kemajuan dan pembangunan.

Pada masa sama,beliau turut menyentuh isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), menyatakan bahawa rundingan tetap diperlukan walaupun sudah ada keputusan mahkamah.

Menurutnya, kerajaan baharu selepas pilihan raya perlu meneruskan perbincangan dengan Putrajaya bagi menyelaras pembayaran dan taksiran yang berkaitan.

“Sebab itu perlu ada penyelarasan antara pemimpin negeri dan Persekutuan demi menjamin pembangunan berjalan lancar.

“Kalau tidak selaras, akhirnya Kerajaan Persekutuan akan reluctant. Walaupun sudah diputuskan, dia tidak mahu berunding kerana tidak setuju dengan kerajaan negeri tersebut. Ini boleh jadi halangan besar kepada pembangunan,” jelasnya lagi.

Sementara itu, mengulas keputusan BN untuk tidak meletakkan calon di DUN Kuamut, Bung Moktar berkata, ia dibuat selepas menilai keadaan di kawasan berkenaan.

“Keperluan di sana amat sukar ketika ini. Jadi kita memberi (peluang) kepada parti-parti lain untuk bertanding.

“Kita akan melihat parti mana yang akan kita sokong di DUN Kuamut,” katanya.

Bung Moktar akan mempertahankan kerusi DUN Lamag dan akan dicabar lima calon lain daripada parti
Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Impian Sabah (PIS), Warisan, Perikatan Nasional (PN) dan Bebas.

Pada PRN16, Bung Moktar berjaya memenangi kerusi DUN itu dalam saingan lima penjuru dengan memperoleh 3,035 undi dengan mencatatkan majoriti tipis 661.

DUN Lamag antara 13 DUN baharu dan mula dipertandingkan pada 2020 dan mempunyai 13,859 pengundi berdaftar.
#senarai calon PRN Sabah #kerusi PRN Sabah #Bung Moktar Radin #calon Ketua Menteri Sabah #Calon PRN Sabah 2025