[TERKINI] PRN Sabah: Bina pelabuhan baharu di Kudat, antara manifesto BN - Salleh Keruak
![[TERKINI] PRN Sabah: Bina pelabuhan baharu di Kudat, antara manifesto BN - Salleh Keruak [TERKINI] PRN Sabah: Bina pelabuhan baharu di Kudat, antara manifesto BN - Salleh Keruak](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/51763569833_TBSallehKeruak.jpg)
Mengenai cabaran di DUN Usukan, Salleh berkata beliau tidak melihat pertembungan enam penjuru kerusi berkenaan sebagai saingan antara individu, sebaliknya ia adalah perlawanan parti utama - Foto FB Salleh Said Keruak
KOTA BELUD: Pembinaan pelabuhan baharu di Kudat dan pewujudan kuasa perindustrian baharu, bakal menjadi antara komponen utama dalam manifesto Barisan Nasional (BN), jika gabungan itu diberikan mandat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Ringkasan AI
- Pembinaan pelabuhan baharu di Kudat dan kawasan perindustrian bakal menjadi fokus manifesto BN jika diberi mandat dalam PRN Sabah akan datang, untuk memperkukuh pembangunan zon utara Sabah.
- BN turut merancang menggalakkan pelabur membina lebih hotel di Kota Belud untuk memastikan limpahan ekonomi pelancongan dirasai penduduk setempat, seiring dengan usaha membangunkan zon mengikut kekuatan masing-masing.
- BN juga bercadang mewujudkan bank kecil milik Sabah untuk membantu usahawan muda memperoleh akses pembiayaan yang lebih mudah, sebagai sebahagian daripada usaha mereka membangunkan golongan belia.
Ujar beliau, usaha itu secara langsung bakal memberi limpahan besar kepada penduduk di DUN Usukan, yang merupakan salah satu kerusi di bawah Parlimen Kota Belud.
"Maka di situ disediakan peluang-peluang pekerjaan. Di Kota Belud, asas kita adalah pertanian, dan juga kita ingin menunjukkan dari segi pelancongan. Kita ada satu kawasan yang begitu strategik. Mempunyai tempat-tempat yang amat menarik.
"Kalau di Semporna terkenal dengan Pulau Sipadan, kita di sini terkenal dengan Pulau Mantanani. Ramai pelancong setiap hari ke Kota Belud. Tetapi mereka tidak tinggal di Kota Belud. Mereka tinggal di Kota Kinabalu. Jadi limpahan (ekonomi) tidak berlaku di Kota Belud," katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI, baru-baru ini.
Bekas Ketua Menteri Sabah itu menambah, antara tumpuan dalam manifesto BN juga ialah menggalakkan pelabur membina lebih banyak kemudahan penginapan seperti hotel di Kota Belud, bagi memastikan limpahan ekonomi pelancongan dapat dirasai secara langsung oleh penduduk setempat.
"Pengalaman saya dulu semasa menjadi Ketua Menteri Sabah, kita bina Sutera Harbour, Karambunai, dan Rasa Ria. Kita lihat peluang-peluang pekerjaan disediakan untuk masyarakat di Sabah ini.
"Kita ingin melihat di Kota Belud itu sebegitu," ujar beliau.
Menurut penyandang kerusi DUN Usukan itu lagi, BN akan memperkenalkan perancangan pembangunan mengikut zon, seperti model sistem residen di Sarawak, bagi memastikan setiap daerah dibangunkan mengikut kekuatan masing-masing.
Selain itu, Salleh memaklumkan BN turut bercadang mewujudkan bank kecil milik Sabah bagi membantu usahawan muda mendapatkan akses pembiayaan yang lebih mudah.
Beliau berkata BN memahami cabaran yang dihadapi anak muda terutama dalam memulakan perniagaan, sekali gus mencerminkan usaha gabungan berkenaan membangunkan golongan belia.
"Dulu kita ada dua hingga tiga bank milik Sabah iaitu Sabah Bank, Sabah Finance, dan ia milik orang Sabah.
"Tetapi kerajaan Persekutuan satu ketika mengambil keputusan untuk gabungkan semua bank ini.
maka tidak ada lagi bank milik Sabah," katanya.
BN dijangka mengumumkan manifesto mereka pada Sabtu ini, sebagai tawaran dalam PRN Sabah ke-17.
Saingan DUN Usukan
Mengenai cabaran di DUN Usukan pula, Salleh berkata beliau tidak melihat pertembungan enam penjuru kerusi berkenaan sebagai saingan antara individu, sebaliknya ia adalah perlawanan parti utama.
Malah, beliau menaruh keyakinan tinggi bahawa para pengundi di DUN berkenaan akan terus menyokongnya sebagai calon daripada BN.
"Pada saya, saya melihat ini cabaran antara parti dan tidak melihat bertanding ini pemimpin mana yang terbaik. Ini adalah untuk menubuhkan kerajaan dan kita kena yakinkan kepada pengundi DUN Usukan bahawa BN parti yang terbaik berdasarkan rekod prestasi mereka semasa menjadi pemerintah dulu," katanya.
Pada PRN Sabah ke-17, Salleh akan dicabar lima lagi calon di DUN Usukan, antaranya Datuk Japlin Akim daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis daripada Parti Warisan (Warisan).
DUN Usukan mempunya 24,235 pengundi berdaftar pada pilihan raya akan datang.
Pada PRN Sabah ke-16, Salleh menang kerusi berkenaan dengan majoriti 4,298 undi menewaskan dua lagi pencabarnya.
Dapatkan berita terkini dan info interaktif PRN Sabah 2025 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

