POLITIK

[TERKINI] PRN Sabah: BN berpotensi bentuk blok terbesar dengan PH - Penyelidik

Firdaus Azil 14/11/2025 | 09:15 MYT
Simulasi PRN Sabah 2025 menunjukkan BN berpotensi menjadi blok terbesar bersama PH, dengan unjuran keseluruhan 30 kerusi. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) berpotensi menjadi blok terbesar bersama Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini, berdasarkan simulasi gabungan kerusi yang realistik.


Ringkasan AI
  • Barisan Nasional (BN) diramal berpotensi menjadi blok terbesar sekiranya bersatu dengan Pakatan Harapan (PH) berdasarkan simulasi gabungan kerusi yang realistik, mencapai sekitar 30 kerusi.
  • Keputusan tiada parti dijangka mencapai majoriti mutlak, menimbulkan situasi "hung assembly" yang memerlukan rundingan antara parti pasca-pilihan raya negeri (PRN).
  • Analisis menunjukkan pengundi Sabah memberi tumpuan kepada kos sara hidup, infrastruktur asas, dan tuntutan hak Sabah; BN-PH mempunyai kelebihan dalam hubungan dengan Kerajaan Persekutuan, tetapi cabaran struktur dan dinamika dalaman parti boleh mempengaruhi keputusan di kerusi marginal.

Klik di sini untuk FAQ berkaitan artikel ini

Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ismail Rakibe berkata, kajian lapangan beliau mendapati, BN dan PH secara kumulatif boleh mencapai sekitar 30 kerusi, tertakluk kepada prestasi di beberapa kerusi marginal.

Tambahnya lagi, melalui unjuran keputusan dan senario terkini - tiada parti dijangka mencapai majoriti mutlak, dan situasi “hung assembly” hampir pasti berlaku.

“Unjuran semasa menunjukkan BN sekitar 22 kerusi (terbanyak), diikuti Parti Warisan Sabah (Warisan) sebanyak 17 kerusi, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebanyak 15 kerusi, PH (lapan kerusi), Perikatan Nasional (lima kerusi), dan Bebas/ parti kecil (satu-dua kerusi).

“Dengan itu, pembentukan kerajaan pasca-PRN bakal menuntut rundingan antara parti. Dapatan awal menunjukkan bahawa BN memperkenalkan sekitar 80 peratus calon muka baharu, iaitu kadar pembaharuan tertinggi dalam kalangan parti-parti utama.

"Warisan diunjurkan berada pada sekitar 40 peratus, manakala GRS sekitar 30 peratus,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini media melaporkan, PKR telah mengumumkan 10 calon dan DAP (tujuh) yang kesemuanya bertanding atas tiket (PH), manakala BN yang terdiri daripada UMNO, MCA, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) serta calon langsung pula bertanding di 45 DUN.

GRS juga telah mengumumkan akan bertanding di 55 DUN terdiri daripada calon-calon dari Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Cinta Sabah (PCS), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat).

Warisan, Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS), Parti Impian Sabah masing-masing mengumumkan bertanding di semua 73 DUN.

Selain itu, PN mengumumkan bertanding di 41 DUN manakala Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing 40 DUN.

Sementara itu, Parti Kerjasama Anak Negeri (26 DUN), Parti Maju Sabah (SAPP) (enam DUN), dan 17 lagi calon Bebas yang bergerak atas nama 'Gelombang Hitam' (Black Wave) akan bertanding pada PRN ke-17.

Dalam pada itu Ismail berkata, analisis isu menunjukkan bahawa pengundi Sabah memberi tumpuan utama kepada tiga domain iaitu kos sara hidup dan peluang pekerjaan; kecekapan infrastruktur asas khususnya air, elektrik dan jalan raya; serta tuntutan hak Sabah melalui kerangka Perjanjian Malaysia 1963.

Beliau berkata, melalui ketiga-tiga domain itu, pengundi menilai interaksi antara keupayaan negeri mengurus pentadbiran dan hubungan dengan Kerajaan Persekutuan.

“BN-PH memperoleh sedikit nilai kelebihan dalam domain ini kerana persepsi bahawa hubungan struktur dengan Putrajaya dapat mempercepatkan penyampaian projek sekiranya mandat diberikan.

“Walau bagaimanapun, para penyelidik menekankan bahawa kelebihan BN ini bersifat relatif, bukan konklusif. Beberapa cabaran struktur kekal signifikan, termasuk persepsi legasi, kemungkinan pertembungan tiga penjuru di kawasan bumiputera Islam, serta dinamik dalaman parti yang berbeza-beza antara kawasan.

“Faktor-faktor ini berpotensi mempengaruhi keputusan secara langsung di kerusi marginal,” katanya lagi.

Berdasarkan simulasi gabungan kerusi yang realistik, serta faktor dominan sentimen rakyat, Ismail berkata, BN berpotensi menjadi blok terbesar bersama PH.

Biarpun begitu, beliau berkata, kedudukan itu tidak menjamin kemenangan mutlak, namun memberikan kedudukan tawar-menawar (bargaining position) yang lebih kukuh kepada BN-PH dalam pembentukan kerajaan pascapilihan raya.

“Analisis kami turut mendapati bahawa parti-parti lain seperti Warisan, GRS, PH dan PN masing-masing mengekalkan kekuatan tertentu dalam segmen demografik dan geografi tersendiri.

“Warisan kekal relevan di kawasan Pantai Timur, GRS berada dalam kedudukan penyandang tetapi berhadapan tekanan isu asas rakyat, manakala PH mempunyai kekuatan di kawasan bandar. PN pula dijangka memainkan peranan dalam memecah undi di beberapa kawasan tertentu,” katanya lagi.

Secara keseluruhan Ismail berkata, para penyelidik merumuskan bahawa PRN Sabah 2025 berada dalam keadaan yang sangat terbuka, namun BN memasuki hari penamaan calon dengan kedudukan kompetitif yang sedikit lebih kukuh berbanding parti lain.

Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Apakah unjuran jumlah kerusi yang boleh dicapai oleh Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) berdasarkan kajian Dr Ismail Rakibe?
    A: BN dan PH secara kumulatif boleh mencapai sekitar 30 kerusi, tertakluk kepada prestasi di beberapa kerusi marginal.
  • Q: Apakah situasi yang dijangka akan berlaku berdasarkan unjuran keputusan terkini untuk pilihan raya negeri Sabah?
    A: Tiada parti dijangka mencapai majoriti mutlak, dan situasi "hung assembly" hampir pasti berlaku.
  • Q: Berapakah jumlah kerusi yang dijangka akan diperoleh oleh beberapa parti politik utama dalam PRN Sabah 2025?
    A: Unjuran menunjukkan BN sekitar 22 kerusi, diikuti Parti Warisan Sabah (Warisan) sebanyak 17 kerusi, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebanyak 15 kerusi, PH (8 kerusi), Perikatan Nasional (5), dan Bebas/parti kecil (1-2 kerusi).
  • Q: Apakah faktor-faktor dominan yang memberi kesan kepada pengundi Sabah dalam mengambil keputusan pada pilihan raya negeri ini?
    A: Pengundi Sabah memberi tumpuan kepada tiga domain iaitu kos sara hidup dan peluang pekerjaan, kecekapan infrastruktur asas, dan tuntutan hak Sabah melalui Perjanjian Malaysia 1963.
  • Q: Bagaimanakah kedudukan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan dalam pembentukan kerajaan pasca-pilihan raya negeri Sabah?
    A: Meskipun BN berpotensi menjadi blok terbesar bersama PH, kedudukan itu tidak menjamin kemenangan mutlak tetapi memberikan kedudukan tawar-menawar yang lebih kukuh dalam pembentukan kerajaan pasca-pilihan raya.


#Sabah Memilih #Barisan Nasional #hung assembly #PRN Sabah 2025