Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
POLITIK

[TERKINI] PRN Sabah: BN komited lunaskan MA63 - Ahmad Zahid

Bernama 22/11/2025 | 06:10 MYT
Ahmad Zahid bercakap kepada pemberita selepas merasmikan manifesto BN di sini hari ini. - Foto Sinar Harian
KOTA KINABALU: Pelaksanaan semua tuntutan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kekal menjadi keutamaan Barisan Nasional (BN) Sabah sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.


Ringkasan AI
  • BN Sabah menegaskan keutamaan pelaksanaan semua tuntutan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) jika diberi mandat pada PRN Sabah ke-17, dengan Timbalan PM Ahmad Zahid Hamidi menjanjikan pemenuhan hak Sabah secara penuh.
  • Ahmad Zahid menekankan komitmen terhadap MA63 sebagai kesinambungan perjuangan BN, menjelaskan bahawa penyelesaian isu infrastruktur asas di Sabah penting untuk tarik pelaburan asing dan kurangkan kadar pengangguran di negeri itu.
  • BN optimis meraih kemenangan besar pada PRN kali ini, dengan menawarkan manifesto pembangunan yang menekankan projek besar seperti Lebuhraya Pan Borneo, pembangunan pelabuhan utama di Kudat, dan rancangan lapangan terbang baharu.


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau sendiri akan memastikan hak-hak Sabah dalam perjanjian itu diterjemahkan sepenuhnya.

Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi BN menegaskan bahawa komitmen terhadap MA63 bukan sekadar retorik politik, sebaliknya merupakan kesinambungan perjuangan yang bermula sejak era BN terdahulu dan diteruskan melalui mandat Kerajaan MADANI hari ini.

"Keprihatinan utama penduduk Sabah ialah pelaksanaan MA63, dan saya yakin dengan komitmen Kerajaan MADANI, MA63 pasti dapat dilaksanakan kerana saya sendiri akan mendesak di peringkat Kabinet supaya ia dilaksanakan sepenuhnya.

"Insya-Allah, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan rakan komponen dalam BN Sabah, akan turut menyuarakannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan manifesto BN di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis di Bangunan UMNO Sabah ialah Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Pengerusi Wanita BN Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Ahmad Zahid menolak dakwaan bahawa MA63 merupakan beban dan menegaskan bahawa kenyataan sedemikian tidak mencerminkan pendirian sebenar BN, yang sentiasa terbuka untuk memastikan hak-hak Sabah dihormati mengikut Perlembagaan.

Beliau berkata penyelesaian isu infrastruktur asas di Sabah juga penting untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada belia Sabah, yang mencatat kadar pengangguran tertinggi di negara ini.

"Terdapat 169,000 penganggur di Sabah. Oleh itu, rancangan pendidikan melalui ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) diberikan penekanan supaya peluang pekerjaan bagi anak-anak muda di Sabah dapat diwujudkan," jelasnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa beberapa projek besar akan dipercepatkan sekiranya BN kembali membentuk kerajaan negeri, termasuk penyelesaian Lebuhraya Pan Borneo, pembangunan pelabuhan utama di Kudat, serta perancangan lapangan terbang baharu.

Ahmad Zahid optimis BN mampu meraih kemenangan lebih besar pada PRN kali ini, namun mengakui landskap politik semasa menuntut jentera parti bekerja lebih keras untuk meyakinkan rakyat, selain mengakui kekuatan pihak lawan.

"Kita akan birukan semula Negeri Sabah kerana kita mempunyai sejarah panjang kerana Sabah di bawah BN suatu ketika dahulu merupakan negeri yang sangat maju.

"Jika BN diberikan mandat semula, kita akan bekerjasama dengan parti-parti dan gabungan lain bagi membangunkan semula negeri ini," katanya.

Pada PRN Sabah ke-17, BN bertanding di 45 daripada 73 Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan 81 peratus calon merupakan muka baharu termasuk hampir separuh merupakan golongan profesional dan muda.

Hari pengundian PRN Sabah ke-17 ditetapkan pada 29 Nov manakala undi awal pada 25 Nov.

-- BERNAMA

#PRN Sabah #Ahmad Zahid Hamidi #MA63 #Barisan Nasional #terkini