Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
POLITIK

[TERKINI] PRN Sabah: BN lancar manifesto hari ini

Bernama 22/11/2025 | 00:45 MYT
Barisan Nasional (BN) akan melancarkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 hari ini, dengan mengetengahkan Rancangan Pembangunan Sabah 1 (RPS1) yang dijadikan teras perjuangan parti.
KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) akan melancarkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 hari ini, dengan mengetengahkan Rancangan Pembangunan Sabah 1 (RPS1) yang dijadikan teras perjuangan parti.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang merupakan Pengerusi BN akan melancarkan manifesto itu di Bangunan UMNO Sabah di sini pada 8.30 pagi.

Berdasarkan atur cara jemputan, pembentangan manifesto RPS1 akan dibuat Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Sementara itu, Ahmad Zahid menerusi catatan Facebook berkata, BN membawa hala tuju yang jelas, terancang dan realistik untuk masa depan negeri itu menerusi gagasan "Sabah Membangun Bersama".

"Dengan kesatuan tenaga seluruh jentera, kita akan memastikan setiap perancangan diterjemah kepada tindakan yang memberi manfaat terus kepada rakyat. Inilah masanya kita bangkitkan semula keyakinan (dan) membawa Sabah ke landasan pembangunan sebenar. Demi rakyat, demi Sabah," katanya.

Pada PRN Sabah ke-17, BN bertanding di 45 daripada 73 Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan 81 peratus calon merupakan muka baharu termasuk hampir separuh merupakan golongan profesional dan muda.

Sementara itu, Pakatan Harapan (PH) dijadualkan melancarkan manifesto PRN Sabah esok.

Pada 17 Nov, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) melancarkan manifesto yang berteraskan gagasan "Rumah Kita, Kita Jaga" dengan tema "Memacu Sabah Maju, Rakyat Berkemajuan".

Semalam, Perikatan Nasional (PN) melancarkan manifesto dengan tema 'Kasi Bagus Sabah' di Putatan.

Hari pengundian PRN Sabah ke-17 ditetapkan pada 29 Nov manakala undi awal pada 25 Nov.

Mengikut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 1,784,843 pengundi layak menjalankan tanggungjawab pada PRN kali ini terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera berserta pasangan dan 12,729 anggota polis bersama-sama pasangan.

Untuk berita terkini PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php

-- BERNAMA
#PRN Sabah #Manifest Barisan Nasional #Rancangan Pembangunan Sabah 1 #Ahmad Zahid Hamidi #Bung Moktar Radin