Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
POLITIK

[TERKINI] PRN Sabah: BN tawar enam teras utama dalam manifesto

Bernama 22/11/2025 | 03:40 MYT
Ahmad Zahid (tengah) bersama pemimpin-pemimpin Barisan Nasional memegang Manifesto Barisan Nasional yang dilancarkan, pada Sabtu di Kota Kinabalu. Manifesto itu memperkenalkan Rancangan Pembangunan Sabah Satu (RPS1).
KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) hari ini melancarkan manifestonya bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dengan memperkenalkan Rancangan Pembangunan Sabah Satu (RPS1) yang menawarkan enam teras utama bagi memacu pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.

Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, ketika membentangkan manifesto itu berkata, RPS1 dirangka secara komprehensif merangkumi aspek Kemakmuran Ekonomi dan Kesejahteraan Hidup, Wanita dan Orang Muda sebagai Tonggak Negara, serta Pendidikan Berkualiti Untuk Semua.

Beliau yang juga calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan berkata, RPS1 turut menekankan agenda Transformasi Politik dan Tadbir Urus, Masyarakat Sihat dan Negeri Berkebajikan, serta Kelestarian Alam.

"RPS1 ini disusun rapi dan diperhalusi setelah mengambil kira keperluan seluruh rakyat Sabah. Politik bukan matlamat, tetapi adalah wadah untuk membangunkan Sabah," katanya.

Turut hadir pada pelancaran yang diadakan di Bangunan UMNO Sabah di sini ialah Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir; Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Noraini Ahmad dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Salleh berkata, melalui teras Kemakmuran Ekonomi dan Kesejahteraan, BN berhasrat menubuhkan Dana Kemakmuran Negeri Sabah sebagai simpanan dan pelaburan jangka panjang untuk manfaat rakyat serta generasi akan datang.

Di bawah teras itu, Salleh berkata, BN juga menyasarkan pembinaan 15,000 unit rumah mampu milik setahun iaitu Rumah Sabahku, khusus untuk golongan B40 dan M40, selain mewujudkan Dana Khas Baik Pulih Rumah bagi membantu mangsa bencana alam dalam kalangan golongan B40.

"Selain itu, BN berjanji untuk membina sebuah lapangan terbang antarabangsa baharu bagi meningkatkan kapasiti sedia ada, di samping membuka Pelabuhan Baharu Kudat dengan mewujudkan kawasan Zon Perdagangan Bebas untuk memperkukuhkan Sabah sebagai Hab Ekonomi Serantau," katanya.

Beliau berkata BN turut merancang menubuhkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Sabah, yang diterajui Menteri Wanita bagi menjaga hal ehwal pembangunan dan kebajikan wanita, kanak-kanak serta masyarakat.

"Selain itu, BN juga mahu mewujudkan Koperasi Usahawan Anak Muda di setiap daerah bagi membuka peluang ekonomi melalui Program Mentorship syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah," kata bekas Ketua Menteri Sabah itu.

Di bawah teras Pendidikan Berkualiti Untuk Semua, BN bertekad menyediakan pendidikan percuma kepada pelajar Sabah daripada golongan B40 di Institut Pengajian Tinggi (IPT) milik kerajaan negeri.

"BN turut berhasrat memberikan insentif one-off sebanyak RM2,000 hingga RM2,500 kepada anak-anak Sabah yang melanjutkan pendidikan ke peringkat diploma dan ijazah sarjana muda di IPT awam dan IPT swasta," katanya.

Selain itu, beliau berkata, BN juga bercadang menubuhkan Jawatankuasa Khas Dewan Undangan Negeri di bawah teras Tranformasi Politik dan Tadbir Urus, bagi memantau dan mengawasi pelaksanaan terma Perjanjian Malaysia (1963) termasuk berkaitan hak-hak Autonomi Negeri Sabah.

Menerusi teras Masyarakat Sihat dan Negeri Berkebajikan, Salleh berkata, ia antaranya menawarkan penubuhan Perkampungan Prihatin Komuniti iaitu Sanggar Kasih khusus untuk warga emas serta Dana Sukarelawan Kesejahteraan Luar Bandar kepada sukarelawan yang memberi khidmat pemeriksaan kesihatan serta kebajikan kepada penduduk luar bandar.

Di bawah teras Kelestarian Sumber Alam, beliau berkata, BN bercadang menubuhkan Majlis Petroleum Sabah bagi memelihara kepentingan negeri dalam industri minyak dan gas serta melaksanakan dasar mewajibkan pengambilan minimum 50 peratus pekerja anak Sabah yang berkemahiran tinggi.

Pada PRN Sabah ke-17, BN bertanding di 45 daripada 73 Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan 81 peratus calon merupakan muka baharu, termasuk hampir separuh daripada mereka golongan profesional dan muda.

Hari pengundian PRN Sabah ke-17 ditetapkan pada 29 Nov manakala undi awal pada 25 Nov.

Mengikut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 1,784,843 pengundi layak menjalankan tanggungjawab pada PRN kali ini terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera berserta pasangan dan 12,729 anggota polis bersama-sama pasangan.

Untuk berita terkini PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php

-- BERNAMA
#PRN Sabah #Manifesto Barisan Nasional #enam teras manifesto #Rancangan Pembangunan Sabah Satu