POLITIK

[TERKINI] PRN Sabah: ‘Dipatuk ular dalam lubang sama’ - UMNO Sipitang persoal kerjasama BN-PH

Khalis Khadir 14/11/2025 | 06:15 MYT
Menurut Abd Rahman, UMNO Sipitang juga mendapati tiada sebarang perundingan dilakukan sebelum keputusan pemberian kerusi dibuat. - Foto Astro AWANI
SIPITANG: UMNO Bahagian Sipitang menyifatkan mereka seolah-olah dipinggir dalam penentuan kerusi pilihan raya selepas diketepikan dua kali berturut-turut iaitu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.


Ringkasan AI
  • UMNO Bahagian Sipitang merasa dipinggir dalam penentuan kerusi pilihan raya, menyebabkan kemarahan akar umbi kerana suara mereka dianggap tidak dihormati oleh kepimpinan negeri dan pusat.
  • Ketua UMNO Sipitang, Abd Rahman Mohd Noh, menyoal keselarasan kerjasama BN-PH di Sabah kerana pertembungan antara parti gabungan dalam beberapa kerusi, menyebabkan kekeliruan dan tidak memberi manfaat yang sepatutnya.
  • UMNO Sipitang memutuskan untuk mengalihkan jentera politik ke DUN Lumadan daripada berfokus pada kerusi Parlimen Sipitang, menunjukkan ketegasan dalam menjalankan keputusan majoriti bahagian walaupun tanpa perundingan sebelumnya.


Ketua UMNO Sipitang, Abd Rahman Mohd Noh berkata, kekecewaan itu menjadi punca kemarahan akar umbi yang menyifatkan suara mereka tidak dihormati oleh kepimpinan negeri dan pusat.

“Akar umbi ini sudah dua kali dinafikan. Pada PRU15, kita mahu letak calon di Parlimen Sipitang, tidak dapat. Kali ini perkara sama berlaku di Sindumin. Kumpulan UMNO Sipitang ini sudah dipatuk ular dalam lubang yang sama sebanyak dua kali.

“Sekarang pula, calon diketengahkan Pakatan Harapan (PH) ini pernah menjadi ahli Parlimen UMNO, pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO Sabah… tetapi apabila dia menganggotai parti lain, logikkah kita ahli UMNO ini untuk membantu? Keputusan kita ini ikut perundangan parti,” katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui di sini pada Jumaat.

Menurutnya, UMNO Sipitang juga mendapati tiada sebarang perundingan dilakukan sebelum keputusan pemberian kerusi dibuat.

“Kami tidak pernah dihubungi untuk rundingan. Tiada panggilan, tiada perbincangan. Itu yang menyebabkan kita rasa suara bahagian dipandang ringan,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau mempersoalkan keselarasan kerjasama BN–PH di Sabah, khususnya apabila berlaku pertembungan antara parti gabungan dalam beberapa kerusi.

“Kita sendiri keliru kenapa perlu ada kerjasama BN–PH di Sabah kalau masih berlaku saling menikam. Terbukti ada kawasan bertembung kali ini. Jadi apa ertinya kerjasama kalau saling menikam?,” soalnya.

Mengenai pencalonan Datuk Yamani Hafez Musa di Sindumin yang mewakili PKR, Abd Rahman berkata, majoriti akar umbi tidak melihat rekod perkhidmatan bekas Ahli Parlimen Sipitang itu sebagai meyakinkan.

Katanya lagi, Sipitang memerlukan pemimpin yang benar-benar berkhidmat kepada rakyat di peringkat setempat, bukan sekadar dicalonkan.

Beliau turut mengesahkan jentera UMNO sudah diarah mengalihkan kekuatan ke DUN Lumadan, satu-satunya kerusi BN di kawasan Parlimen Sipitang.

“Jentera kita sudah sepenuh tenaga bergerak ke Lumadan. Itulah kerusi yang kita bertanding, itulah fokus kita,” katanya.

Abd Rahman menegaskan bahawa keputusan bahagian adalah hasil suara majoriti, dan pihaknya sedia memberikan penjelasan kepada kepimpinan pusat sekiranya diminta.

“Kita buat keputusan ikut perlembagaan parti, bukan membabi buta. Kalau diminta beri tunjuk sebab, kita bersedia. Ini keputusan majoriti bahagian,” tegasnya.

Pada Khamis, UMNO Bahagian Sipitang menyatakan pendirian untuk tidak memberi sebarang kerjasama kepada PKR atau PH di kerusi DUN Sindumin menjelang PRN Sabah kali ini.

“UMNO Bahagian Sipitang tidak akan memberi sebarang kerjasama kepada parti PKR atau PH di DUN Sindumin selaras dalam Perlembagaan UMNO Perkara 20.11 dan 20.13 yang tidak membenarkan untuk membantu calon yang pernah khianat dan dipecat daripada parti UMNO,” kata Abd Rahman menerusi kenyataan.

PKR pada 9 November lalu mengumumkan Datuk Yamani Hafez Musa akan bertanding di Sindumin, kerusi yang disandang oleh Warisan sebelum ini.

Yamani yang merupakan anak kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman memenangi kerusi Parlimen Sipitang atas tiket BN pada PRU 2018.

Beliau kemudiannya menyertai Bersatu dan tidak mempertahankan kerusi itu pada PRU 2022.
#UMNO Sipitang #Pakatan Harapan #Barisan Nasional #PRN Sabah 2025