[TERKINI] Penamaan Calon PRN Sabah Bermula – Siapa Bakal Bertanding? Ikuti Perkembangan Terkini di Sini!
POLITIK

[TERKINI] PRN Sabah: Fairuz bertanding Bebas di Pintasan, Hajiji tegaskan parti akan pecat

Hasimi Muhamad 15/11/2025 | 05:15 MYT
Hajiji berkata, tindakan ahli GRS atau Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang melanggar disiplin parti dengan bertanding tiket Bebas akan menerima hukuman tegas termasuk dipecat. - Gambar/ Bernama
TUARAN: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana ahlinya yang memilih untuk bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN).


Ringkasan AI
  • Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan tidak akan berkompromi terhadap ahli GRS dan Gagasan Rakyat yang bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN), dan akan dipecat jika melanggar disiplin parti.
  • Datuk Fairuz Renddan dari Gagasan Rakyat bertanding atas tiket Bebas di Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16, mencabar calon GRS Tan Sri Pandikar Amin Mulia di DUN Pintasan.
  • Tambahan dua ahli Gagasan Rakyat, Roland Chia di Inanam dan Datuk Maijol Mahap di Bandau, turut bertanding sebagai calon Bebas, sementara GRS dan PH juga menurunkan calon masing-masing.


Hajiji berkata, tindakan ahli GRS atau Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang melanggar disiplin parti dengan bertanding tiket Bebas akan menerima hukuman tegas termasuk dipecat.

"Penyertaan bagi parti-parti lain yang bertanding itu kita boleh terima. Tetapi bagi ahli PGRS, GRS yang bertanding sebagai calon Bebas, kita akan ambil tindakan untuk memecat mereka daripada parti.

"Ini kita tidak boleh bertolak ansur," katanya kepada pemberita selepas selesai proses penamaan calon di Dewan Seri Sulaman, di sini pada Sabtu.

Terdahulu, PGRS memberi amaran bahawa mana-mana ahli parti yang memilih untuk bertanding sebagai calon Bebas akan dipecat serta-merta.

Penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan, Datuk Fairuz Renddan mengambil keputusan bertanding atas tiket Bebas bagi mempertahankan kerusi dimenanginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.

Fairuz ketika ini menjawat jawatan Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, dan akan mencabar calon GRS, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, yang juga Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).

Selain itu, dua lagi ahli Gagasan Rakyat yang bertanding sebagai calon Bebas ialah Roland Chia di Inanam dan Datuk Maijol Mahap di Bandau.

Kerusi Inanam ditandingi oleh calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Peto Galim, manakala GRS meletakkan Datuk Redonah Bahanda di DUN Bandau.

Dalam masa yang sama, Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat menyatakan keyakinan bahawa beliau akan akan mempertahankan kerusi DUN Sulaman dengan majoriti besar.

Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa gabungan GRS dan Pakatan Harapan (PH) akan berjaya membentuk kerajaan selepas 29 November depan.


#senarai calon PRN Sabah #kerusi PRN Sabah #Hajiji Noor #Gabungan Rakyat Sabah #Calon PRN Sabah 2025