POLITIK

[TERKINI] PRN Sabah: Frankie Poon tidak goyah, yakin khidmat cemerlang jadi penentu kemenangan

Syaff Syukri 12/11/2025 | 14:30 MYT
Frankie menegaskan, kekuatan sebenar sesuatu parti bukan bergantung kepada strategi politik semata-mata, tetapi kepada usaha berterusan untuk berkhidmat kepada rakyat. - Gambar Astro AWANI
SANDAKAN: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Papat, Datuk Frankie Poon, yakin mampu mengekalkan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, bersandarkan kepada rekod khidmat dan kepercayaan pengundi terhadap kepimpinannya.


Ringkasan AI
  • Datuk Frankie Poon yakin dapat mengekalkan kemenangan di DUN Tanjong Papat pada PRN Sabah ke-17 berdasarkan rekod khidmat dan kepercayaan pengundi terhadap kepimpinannya, serta konsistensinya dalam mendampingi rakyat sejak sebelum menjadi wakil rakyat.
  • Beliau menekankan bahawa kekuatan sebenar parti bukan hanya bergantung kepada strategi politik, tetapi juga kepada usaha berterusan untuk berkhidmat kepada rakyat, dengan menegaskan pentingnya terus bekerja untuk rakyat dari dulu hingga sekarang.
  • Frankie menyifatkan saingan politik sebagai peluang untuk rakyat menilai calon berdasarkan keupayaan dan pengalaman, serta berharap pengundi menilai prestasinya selama dua penggal berkhidmat, serta memberi mandat sekali lagi untuk meneruskan pembangunan di kawasan Tanjong Papat.


Frankie yang kembali mempertaruhkan nasib di kerusi sama atas tiket parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), berkata keyakinan itu hadir kerana beliau sentiasa konsisten mendampingi rakyat sejak sebelum menjadi wakil rakyat lagi.

“Memang saya bertanding atas tiket baharu, tapi cara kerja saya tetap sama.

“Daripada sebelum jadi wakil rakyat hingga sekarang, saya tidak pernah berhenti turun padang dan membantu masyarakat,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di Sandakan.

Frankie turut menegaskan, kekuatan sebenar sesuatu parti bukan bergantung kepada strategi politik semata-mata, tetapi kepada usaha berterusan untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Bagi saya, strategi paling penting ialah terus bekerja untuk rakyat. Saya bukan orang yang muncul hanya masa pilihan raya.

“Saya bersama rakyat dari dulu hingga sekarang, dengar suara mereka dan bantu apa yang perlu,” katanya.

Mengulas mengenai saingan yang bakal didepani di DUN Tanjong Papat, Frankie menyifatkan ia sebagai peluang kepada rakyat untuk menilai calon berdasarkan keupayaan dan pengalaman.

Frankie turut berharap pengundi akan menilai prestasinya sepanjang dua penggal berkhidmat, sambil menzahirkan harapan agar diberi mandat sekali lagi untuk meneruskan pembangunan di kawasan itu.

“Sekarang bukan masa dulu. Banyak cabaran, terutama dengan pengaruh media sosial. Tetapi ini bukan soal saya lawan siapa, ini soal rakyat menilai siapa paling layak untuk berkhidmat kepada mereka.

“Tahun 2020 rakyat beri saya peluang. Saya harap mereka tidak kecewa dengan apa yang telah saya lakukan.

“Kalau mereka puas hati dengan kerja saya, saya mohon satu peluang lagi untuk teruskan khidmat kepada mereka,” katanya.

Pada 11 Oktober lalu, Frankie yang juga bekas Pengerusi DAP Sabah dan pemimpin wanita, Liau Fui Fui, mengejutkan arena politik negeri apabila mengumumkan keluar daripada DAP.

Menerusi kenyataan bersama, Frankie dan Fui Fui berkata keputusan tersebut bukan dibuat dengan tergesa-gesa, sebaliknya ia dilakukan selepas menilai secara teliti pelbagai perkembangan dalaman parti sejak kebelakangan ini.

DUN Tanjong Papat merupakan kubu kuat Frankie selama dua penggal ketika bersama DAP apabila berjaya mencatat kemenangan bergaya menerusi Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) dan PRN Sabah ke-16 pada 2020.


#PRN Sabah #media sosial #DAP #strategi politik