[TERKINI] PRN Sabah: Gelombang sokongan untuk Warisan meningkat, Ma’mun tekad selesaikan isu asas warga Kukusan
![[TERKINI] PRN Sabah: Gelombang sokongan untuk Warisan meningkat, Ma’mun tekad selesaikan isu asas warga Kukusan [TERKINI] PRN Sabah: Gelombang sokongan untuk Warisan meningkat, Ma’mun tekad selesaikan isu asas warga Kukusan](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/51763673105_MamunSulaiman.jpg)
Menerusi saingan di DUN Kukusan, Ma’mun (gambar) bakal berentap dengan sembilan calon lain termasuk kakak kandungnya, Chaya Sulaiman, yang bertanding atas tiket Barisan Nasional. - Gambar Astro AWANI
TAWAU: Sentimen pengundi di Pantai Timur Sabah dilihat kembali memihak kepada Warisan susulan kekecewaan berpanjangan terhadap isu infrastruktur, peluang pekerjaan dan kelemahan dasar pembangunan yang menekan kehidupan harian rakyat.
Menurut calon Warisan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan, Ma’mun Sulaiman, rungutan rakyat di lapangan jelas menunjukkan hasrat untuk melihat perubahan yang lebih tegas.
Ia khususnya dalam menangani masalah asas seperti bekalan air, elektrik, jalan raya dan peluang ekonomi yang semakin mengecil bagi anak muda.
“Saya yakin orang-orang di Pantai Timur malahan di Sabah akan beralih kepada Warisan, kita yakin.
“(Masyarakat) yang di lapangan mengeluh tentang masalah infra terutamanya air, elektrik, galan raya dan peluang ekonomi itu memang terhad kepada orang-orang Sabah ini.
“Kita ni di Tawau ini (merupakan) satu tempat yang orang bilang sangat beruntung dalam aspek lokasinya sebab kita berada di sempadan Indonesia-Malaysia,” katanya.
Ma’mun yang merupakan bekas Ahli Parlimen Kalabakan menambah, isu peluang pekerjaan juga merupakan antara punca utama penghijrahan besar-besaran rakyat Sabah ke Semenanjung dan luar negara.
“Statistik terbaru menunjukkan lebih 300,000 orang Sabah terpaksa berhijrah ke Semenanjung mencari rezeki. Ramai juga ke (luar negara seperti) Korea Selatan dan Australia.
“Ini (masih) berlaku walaupun Sabah kaya dengan minyak, gas, kayu balak, sawit dan sektor pelancongan yang luar biasa.
“Jadi persoalannya, mengapa negeri yang begitu kaya tidak mampu menyediakan pekerjaan kepada rakyatnya sendiri?” soal beliau.
Sehubungan itu, Ma'mun menegaskan, keadaan itu harus dihentikan dan menjadi salah satu fokus beliau sekiranya diberi mandat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan pada 29 November ini.
Menerusi saingan di DUN Kukusan, Ma’mun bakal berentap dengan sembilan calon lain termasuk kakak kandungnya, Chaya Sulaiman, yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN).
Chaya kembali bersaing buat kali kedua bagi kerusi itu selepas tewas kepada penyandang, Datuk Rina Jainal pada 2020, yang turut kembali mempertahankan kerusi DUN tersebut atas tiket Bebas.
Pada PRN16, DUN Kukusan dimenangi Rina, yang ketika itu mewakili Warisan dengan memperoleh 2,834 undi dengan 10 majoriti dalam saingan tujuh penjuru.
Manakala Chaya yang turut bertanding atas tiket BN, berdepan kekalahan tipis dengan memperoleh 2,824 undi dengan peratusan direkodkan sebanyak 41.40 peratus.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

