[TERKINI] SPRM Tahan Bekas Ketua Setiausaha Politik Kanan PM – Ikuti Perkembangan di Sini!
POLITIK

[TERKINI] PRN Sabah: Gerak kerja kempen calon terhad susulan cuaca tidak menentu

Bernama 28/11/2025 | 09:45 MYT
Di bawah hujan yang membasahi bumi Sabah, Menara Kinabalu tetap teguh berdiri seperti harapan rakyat menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17. - Foto Bernama
KOTA KINABALU: Cuaca tidak menentu dengan hujan lebat hampir setiap petang sepanjang minggu ini mengehadkan gerak kerja kempen calon-calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, terutama di kawasan pedalaman membabitkan laluan berbukit, jalan balak serta jambatan sementara.


Ringkasan AI
  • Cuaca hujan lebat sepanjang minggu ini menyukarkan kempen calon-calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 terutama di kawasan pedalaman dengan masalah jalan licin, paras sungai meningkat, dan akses terhad.
  • Beberapa kawasan seperti Pensiangan, Nabawan, Sook, Tenom dan Kimanis mengalami jalan licin, menyebabkan jadual kempen terpaksa dirombak dan konvoi kempen ditunda.
  • Cuaca buruk ini tidak hanya melambatkan kempen, malah menyukarkan calon untuk sampai ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) di pedalaman yang hanya boleh diakses dengan kenderaan pacuan empat roda.


Cuaca di pantai barat Sabah membabitkan Kota Kinabalu, Kota Belud, Papar, Penampang, Putatan, Ranau dan Tuaran didapati hujan lebat pagi tadi berbanding di bahagian Tawau dan Sandakan yang mengalami cuaca baik.

Tinjauan Bernama mendapati beberapa kawasan seperti Pensiangan, Nabawan, Sook, Tulid, Tenom dan Kimanis berdepan masalah jalan licin, paras sungai meningkat serta akses pedalaman yang terhad hingga menyebabkan banyak jadual kempen terpaksa dirombak pada saat akhir.

Ketika mengikuti kempen di Sook dan Nabawan, jadual pergerakan beberapa calon pada sebelah petang terpaksa ditukar kerana ekoran laluan tanah 'gravel' yang basah, memaksa konvoi kempen ditunda.

Keadaan cuaca itu bukan sahaja memperlahankan tempo kempen, malah menyukarkan calon untuk sampai ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang terletak jauh di pedalaman selain hanya boleh diakses menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

Di kawasan tanah tinggi seperti Kundasang dan Tambunan, hujan lebat disusuli kabus tebal turut mengurangkan jarak penglihatan sekali gus menyukarkan perjalanan pada waktu malam.

Semakan di laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mendapati hujan dijangka melanda di beberapa tempat di Sabah, pagi esok manakala ribut petir pula diramal berlaku di kebanyakan tempat di kawasan pedalaman pada sebelah petang.

Hujan juga dijangka melanda di beberapa tempat pada sebelah malam.

Sebanyak 1.76 juta pengundi akan menunaikan tanggungjawab pada PRN Sabah ke-17 esok, yang mempertandingkan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

-- BERNAMA

#PRN Sabah #cuaca #kempen calon #MetMalaysia #hari pengundian