Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
POLITIK

[TERKINI] PRN Sabah: GRS akan tubuhkan 'Sabah Sovereign Wealth Fund', jamin masa depan rakyat

Hasimi Muhamad 17/11/2025 | 08:00 MYT
Armizan pada sidang media selepas pelancaran manifesto GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah hari ini. - Gambar/ Bernama
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan menubuhkan Dana Pelaburan Masa Depan Anak Sabah atau Sabah Sovereign Wealth Fund, jika diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 ini.


Ringkasan AI
  • Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merancang menubuhkan Dana Pelaburan Masa Depan Anak Sabah, atau Sabah Sovereign Wealth Fund, untuk menjamin kestabilan, kemampanan, dan hasil Kerajaan Negeri bagi generasi akan datang.
  • Suntikan modal awal bagi dana ini akan datang daripada sebahagian rizab negeri yang meningkat hingga RM8 bilion, serta tambahan modal tahunan sebanyak 40 peratus daripada komitmen Kerajaan Persekutuan.
  • Struktur tadbir urus Dana Pelaburan Masa Depan Anak Sabah akan melibatkan wakil Kerajaan Sabah serta pakar profesional untuk memastikan kelestarian dan pertumbuhan dana dalam jangka panjang, menjadikan Sabah maju dan rakyat menikmati hasil pelaburan tersebut.


Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, strategi pelaburan jangka masa panjang itu antara yang terkandung dalam Manifesto GRS, sebagai usaha menjamin kestabilan, kemampanan dan hasil Kerajaan Negeri demi generasi akan datang.

Jelas beliau, satu enakmen khusus akan digubal bagi mewujudkan Dana Pelaburan Masa Depan Anak Sabah.

"Daripada mana dapat pendapatannya? Pertama, bermula tahun depan insya-Allah suntikan modal awal daripada sebahagian rizab negeri yang telah meningkat mencecah RM8 bilion.

"Tambahan modal tahunan pula, kita akan ambil daripada hak 40 peratus daripada komitmen Kerajaan Persekutuan. Jadi sebahagian daripadanya, setiap tahun kita dapat 40 peratus peruntukan khas itu, kita masukkan dalam 'Sabah Sovereign Wealth Fund'," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pengumuman Manifesto GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Isnin.

Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor; Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Joachim Gunsalam; Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Tan Sri Pandikar Amin Mulia; Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Chin Su Phin; Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) Tan Sri Liew Yun Fa dan Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Tan Sri Anifah Aman.

BACA: GRS lancar manifesto, tingkat pendapatan negeri dan sosioekonomi rakyat

Ahli Parlimen Papar itu menambah, struktur tadbir urus Dana Pelaburan Masa Depan Anak Sabah akan melibatkan gabungan wakil Kerajaan Sabah serta pakar profesional yang berpengalaman dalam bidang kewangan, pelaburan dan perundangan.

"Mereka akan merangka dasar, hala tuju serta jenis pelaburan yang sesuai bagi memastikan dana ini berkembang dan kekal mampan dalam jangka Panjang," jelas beliau.

Armizan menegaskan bahawa tujuan utama penubuhan dana tersebut, adalah untuk memastikan generasi akan datang bukan sahaja mewarisi sebuah negeri yang lebih maju, tetapi turut menikmati keuntungan hasil pelaburan yang disemai oleh kepimpinan hari ini.

"Komitmen kita, hasil meningkat dan hak kita dapat. Kita tidak habiskan setiap tahun, tetapi kita simpan separuh setiap tahun... dimasukkan dan dilaburkan dalam Sabah Sovereign Wealth Fund untuk dinikmati oleh generasi akan datang," katanya lagi.

Ditanya mengenai tempoh pengeluaran dana berkenaan, Armizan berkata terdapat potensi keuntungan tertentu yang mungkin boleh dikeluarkan dalam tempoh jangka masa sederhana.

Terdahulu, GRS melancarkan manifesto sempena PRN Sabah ke-17, yang dibangunkan berasaskan gagasan utama "Rumah Kita, Kita Jaga" dengan tema "Memacu Sabah Maju, Rakyat Berkemajuan".

Manifesto GRS tersebut memberi tumpuan kepada dua matlamat utama iaitu peningkatan pendapatan negeri dan pendayaupayaan sosioekonomi rakyat.
#PRN Sabah 2025 #Sabah Sovereign Wealth Fund #Dana Pelaburan Masa Depan Anak Sabah #Manisfesto GRS