[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
POLITIK

[TERKINI] PRN Sabah: GRS dijangka menang 26 daripada 55 kerusi - Ilham Centre

Seth Akmal 28/11/2025 | 08:06 MYT
Kajian itu menyorot kelebihan GRS termasuk status penyandang, imej sederhana Hajiji yang diterima semua pihak. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dijangka memenangi 26 daripada 55 kerusi ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, menurut firma penyelidikan bebas Ilham Centre.

“Menerusi kajian akhir mengenai sikap dan pola pengundian rakyat Sabah, GRS masih mendapat sokongan mencukupi untuk mengetuai rundingan bersama parti-parti lokal dan calon Bebas.

“Seterusnya melepasi majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan,” katanya melalui laporan yang disiarkan pada hari ini.

Kajian itu menyorot kelebihan GRS termasuk status penyandang, imej sederhana Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang diterima semua pihak, selain sokongan kukuh di pantai barat, serta kempen berfokus pada kestabilan dan ketenangan.

“Ini menjadikan GRS akan membuka pintu rundingan dengan parti-parti lain mahupun calon bebas yang menang untuk mengukuhkan majoriti,” katanya.

Firma itu juga berpendapat GRS telah memanfaatkan sumber mereka untuk menggerakkan jentera secara berkesan dan sekata di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.

Tambahnya, kempen GRS dilihat defensif namun lebih tersusun melalui mesej kempen iaitu kesinambungan
pembangunan dan kestabilan.

Selain itu faktor Hajiji juga dilihat lebih signifikan berbanding logo GRS itu sendiri apabila menampilkan imejnya yang ‘steady’ dan ‘reliable’.

Dapatan itu juga meramalkan kerusi yang akan menyumbang kepada kemenangan GRS antaranya ialah DUN Sulaman, Karanaan, Kuala Penyu dan Membakut, manakala terdapat 13 kerusi sengit yang terbuka kepada semua calon untuk dimenangi.

Ilham Centre berkata, faktor peratusan keluar mengundi yang dijangka rendah turut berperanan untuk mengekalkan GRS selaku penyandang.

“Kami menjangkakan sebahagian besar pengundi luar tidak akan pulang mengundi,” katanya lagi.
#ILHAM Centre #GRS #keputusan pilihan raya #PRN Sabah 2025