[TERKINI] Penamaan Calon PRN Sabah Bermula – Siapa Bakal Bertanding? Ikuti Perkembangan Terkini di Sini!
POLITIK

[TERKINI] PRN Sabah: 'Kami ada harga diri, bukan boleh dibeli dengan roti Gardenia' - Atu Zero

Faida Rahim 15/11/2025 | 10:06 MYT
Atu memaklumkan beliau kini berada di Sabah dan merupakan pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) N2 Tanjung Kapor. - Foto/ Atu Zero
KUALA LUMPUR: Pelawak terkenal Atu Zero yang merupakan anak kelahiran Sabah mengakui terkilan dengan kenyataan seorang pemimpin politik yang mengumpamakan sokongan rakyat Sabah seolah-olah boleh dibeli dengan sebuku roti Gardenia.


Ringkasan AI
  • Atu Zero, pelawak kelahiran Sabah, menyuarakan ketidakpuasan terhadap pemimpin politik yang mengatakan sokongan rakyat Sabah seperti boleh dibeli dengan sebuku roti Gardenia.
  • Rakyat Sabah menolak konsep diberi roti untuk mempengaruhi undi, mempertahankan harga diri serta kepelbagaian budaya mereka.
  • Walaupun individu berkenaan meminta maaf, kesan kenyataannya yang merendahkan masih dirasai oleh jutaan rakyat Sabah.


Atu menegaskan rakyat Sabah bukan jenis yang mudah dipengaruhi untuk mengundi sesebuah parti hanya dengan pemberian roti.

“Kami sebagai orang Sabah bukan jenis yang senang dibagi roti macam tu. Kalau orang bagi, kita terima sebab dalam Islam makanan tidak boleh ditolak. Tapi bila sentimen begitu diulang, memang rata-rata orang Sabah akan marah. Takkan nilai kami hanyalah sebuku roti Gardenia,” katanya.

Tambah Atu, penduduk Sabah mempunyai harga diri dan kepelbagaian budaya yang tidak boleh direndahkan dengan perbandingan sedemikian.

“Kami bukan saja roti, kami banyak yang sedap. Suara lagi sedap. Kalau bersin pun bunyi seruling,” katanya berseloroh.

Beliau berkata, walaupun boleh menerima permohonan maaf daripada individu berkenaan, isu tersebut tetap meninggalkan kesan kepada jutaan rakyat Sabah.

“Kalau saya, saya boleh maafkan. Tapi bagaimana pula dengan empat juta lebih rakyat Sabah yang masih terasa dengan benda tu,” katanya.

Atu turut memaklumkan beliau kini berada di Sabah dan merupakan pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) N2 Tanjung Kapor.

“Saya balik untuk tunaikan tanggungjawab sebagai pengundi,” katanya.

Terdahulu, seorang pemimpin politik mencetuskan kontroversi apabila dalam sidang DUN sebuah negeri menyatakan bahawa “Orang Sabah itu, kempen dia beri roti Gardenia saja”. Kenyataan itu mengundang kecaman pelbagai pihak kerana dilihat merendah-rendahkan maruah pengundi Sabah.

Pemimpin terbabit kemudian memohon maaf dan menarik balik kenyataannya selepas menerima kritikan daripada pemimpin politik dan rakyat Sabah yang menegaskan mereka tidak boleh dibeli dengan pemberian roti
#Atu Zero #roti gardenia #Calon PRN Sabah 2025 #senarai calon PRN Sabah