[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
POLITIK

[TERKINI] PRN Sabah: KDM yakin menang mudah 15 kerusi - Wetrom

Hasimi Muhamad 24/11/2025 | 02:40 MYT
Wetrom berkata keyakinan KDM diperkukuh oleh semangat perubahan yang semakin jelas dalam kalangan rakyat, terutama keinginan memilih parti tempatan tanpa bergantung kepada politik wang. - Foto Astro AWANI
KOTA MARUDU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yakin mencapai sasaran mudah memenangi 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang dijadual berlangsung pada 29 November ini.


Ringkasan AI
  • Parti KDM yakin menang 15 kerusi DUN Sabah pada PRN ke-17 yang dijadual 29 November ini.
  • Gelombang sokongan pengundi terhadap parti lokal dan semangat perubahan menjadi faktor utama untuk kejayaan KDM.
  • KDM mencadangkan Wetrom Bahanda sebagai Ketua Menteri jika membentuk Kerajaan Negeri, namun realiti politik memerlukan kerjasama politik dalam memenangi majoriti.


Timbalan Presidennya, Datuk Wetrom Bahanda, berkata sebagai sebuah parti baharu, KDM perlu bersikap rasional dalam menetapkan sasaran kemenangan, namun perkembangan semasa menunjukkan sokongan terhadap parti itu semakin meningkat.

Beliau berkata gelombang sokongan pengundi terhadap parti lokal sepenuhnya kini menjadi faktor utama yang mengukuhkan kedudukan KDM berbanding PRN sebelumnya.

"Ya, sasaran kita sebenarnya 10 hingga 15 kerusi, dan kalau kita dapat lebih, itu bonus. Memang kita menjangkakan pada awalnya, kita akan mencapai kemenangan dalam 20 lebih kerusi.

"Tetapi dalam keadaan sekarang ini dengan kehendak rakyat, kadang-kadang ada juga di peringkat akar umbi yang memerlukan 'sesuatu' untuk mengundi, maka mungkin itu mengurangkan kadar kemenangan kita.

"Sebagai sebuah parti baharu, kita kena rasional dan mungkin sasaran kita 10 hingga 15 kerusi. Tetapi kita amat yakin bahawa parti ini akan mencapai sasaran mudah 15 kerusi," katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI, di sini baru-baru ini.

Wetrom berkata keyakinan KDM turut diperkukuh oleh semangat perubahan yang semakin jelas dalam kalangan rakyat, terutama keinginan memilih parti tempatan tanpa bergantung kepada politik wang.

Mengulas lanjut mengenai perubahan yang diingini rakyat, beliau berkata antara perkara utama yang menjadi tuntutan pengundi pada PRN kali ini ialah kepimpinan berintegriti.

"Sebab itu pada kita, sebelum kita membuat pilihan untuk calon-calon, kita telah menganalisis latar belakang masing-masing. Alhamdulillah kita melihat bahawa antara calon-calon yang kita tengahkan ini, semua mempunyai latar belakang yang baik.

"Insya-Allah kita akan pastikan bahawa sekiranya rakyat memberikan mandat kepada kita, integriti yang tinggi ini akan kita teruskan untuk semua wakil rakyat yang menang selepas pilihan raya nanti," ujar beliau.

Ketua Menteri daripada KDM

Ahli Parlimen Kota Marudu itu menambah, KDM juga telah sebulat suara mencadangkan beliau sebagai Ketua Menteri, jika parti itu berjaya membentuk Kerajaan Negeri selepas PRN Sabah ke-17.

Begitu pun, Wetrom berkata realiti politik semasa tidak memungkin sebuah parti memenangi majoriti mudah, iaitu 37 kerusi, sekali gus memerlukan kerjasama politik bagi membentuk Kerajaan Negeri Sabah.

Selain itu, jelas beliau lagi pindaan Perlembagaan Sabah juga membuka peluang sama rata kepada semua parti, kerana Ketua Menteri tidak semestinya dilantik daripada parti yang memenangi kerusi terbanyak.

"Ertinya, antara parti-parti ini mempunyai peluang yang sama untuk menjadi Ketua Menteri, antara wakil-wakil parti ini.

"Dengan syarat, akan ditentukan oleh Yang Dipertua Negeri, mana antara wakil rakyat yang dianggap mendapat sokongan padu daripada 73 wakil rakyat yang ada.

"Jadi, pada kita, semuanya ini ketentuan Tuhan. Kalau itulah yang akan ditakdirkan untuk kita (mengemudi Kerajaan Negeri), Insya-Allah, KDM akan melaksanakan apa yang digariskan oleh kerajaan semasa dan juga apa yang dikehendaki oleh rakyat," katanya.

Pada PRN Sabah ke-17, KDM menampilkan seramai 40 calon, dengan sekitar 70 peratus adalah muka baharu, manakala 30 peratus lagi calon muda.

#PRN Sabah #Calon PRN Sabah #Parti KDM #Wetrom Bahanda