[TERKINI] PRN Sabah: Keadaan kesihatan Bung Moktar tidak jejas kempen BN - Suhaimi
![[TERKINI] PRN Sabah: Keadaan kesihatan Bung Moktar tidak jejas kempen BN - Suhaimi [TERKINI] PRN Sabah: Keadaan kesihatan Bung Moktar tidak jejas kempen BN - Suhaimi](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-10/81759907284_BNSabah.jpg)
Bung Moktar, yang juga calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, dilapor hanya mengalami jangkitan biasa dan selesema. - Gambar fail
LIBARAN: Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Suhaimi Nasir berkata masalah kesihatan yang dialami Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin tidak menjejaskan perjalanan kempen calon-calon parti itu menjelang hari mengundi pada 29 Nov ini.
Ahli Parlimen Libaran itu berkata Bung Moktar, yang juga calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, hanya mengalami jangkitan biasa dan selesema.
"Keadaan itu tidak memberi kesan kepada aktiviti kempen yang sedang berjalan... namun, saya dan seluruh jentera BN Negeri Sabah mendoakan agar Datuk Seri kembali pulih dalam sehari dua ini dan terus bekerja untuk memastikan kemenangan calon BN," katanya.
Suhaimi berkata demikian ketika ditanya tentang keadaan kesihatan Bung Moktar yang dikhabarkan jatuh sakit selepas hari penamaan calon pada 15 Nov lepas.
Beliau ditemui pada Program Santai Calon BN bagi Kerusi DUN Sungai Manila Zaini Tiksun Bersama Penduduk Rancangan Sungai Manila di sini malam tadi.
Mengulas perkembangan kempen BN yang memasuki minggu kedua bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, Suhaimi berkata gelombang biru dilihat semakin menguasai semua lapisan masyarakat di setiap kerusi yang ditandingi.
"Saya lihat dalam laman media sosial, gelombang biru semakin kelihatan, begitu juga dengan media cetak dan elektronik, kita nampak gelombang biru lebih mendominasi.
"Ini kerana semua calon yang bertanding atas tiket BN tidak mempunyai permasalahan dalaman... kita lihat banyak parti lain masih bertelagah dan isu dalaman mereka belum selesai," katanya.
Suhaimi, yang juga calon BN bagi kerusi Sungai Sibuga, bagaimanapun mengingatkan semua jentera parti supaya terus melipatgandakan usaha kempen mereka bagi memastikan kemenangan seterusnya membentuk kerajaan selepas 29 Nov ini.
"Kita sudah memasuki minggu terakhir berkempen, jadi usaha perlu dipertingkat... selama berbulan-bulan kita bekerja mengurus parti dengan baik, jadi tidak ada ruang untuk sambil lewa pada saat-saat akhir... kita tiada masa untuk berehat," katanya.
Mengulas mengenai kehadiran legenda rock tanah air Datuk Amy Search dalam program berkenaan, Suhaimi berkata penyanyi terkenal itu akan menyertai siri jelajah kempen calon-calon BN di seluruh Sabah.
"Sebenarnya, Amy sendiri menawarkan diri kerana mahu melihat BN kembali menjadi kerajaan kerana bagi beliau, tiada yang boleh menandingi pentadbiran BN.
"Apabila kita membawa Amy, kita lihat sambutan pengundi-pengundi muda sangat memberangsangkan," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian manakala tarikh penamaan calon pada 15 Nov dan 25 Nov bagi undi awal.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini dan info interaktif PRN Sabah 2025 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

