[TERKINI] Penamaan Calon PRN Sabah Bermula – Siapa Bakal Bertanding? Ikuti Perkembangan Terkini di Sini!
POLITIK

[TERKINI] PRN Sabah: "Kerana dia abangku, Datuk Bung tidak ganggu adiknya di Kuamut" - Masiung

Syaff Syukri 15/11/2025 | 08:50 MYT
Untuk PRN kali ini, Masiung bakal berdepan cabaran daripada tujuh calon bagi mempertahankan kerusi DUN Kuamut. - Foto Astro AWANI
KINABATANGAN: "Sebab Datuk Bung itu 'abangku'. Jadi saya percaya 'abangku' tidak mengganggu adiknya di kawasan Kuamut. Kan Datuk Bung itu 'abangku'.”


Ringkasan AI
  • Datuk Masiung Banah percaya Barisan Nasional tidak meletakkan calon di DUN Kuamut kerana kawasan tersebut merupakan kubu kuat BN sejak 2004.
  • Calon dan penyandang kerusi DUN Lamag, Datuk Seri Bung Moktar Radin, mengulas bahawa keadaan di DUN Kuamut amat sukar, menyebabkan BN memberi peluang kepada parti lain untuk bertanding.
  • Dalam Pilihan Raya Negeri kali ini, Datuk Masiung berdepan cabaran daripada tujuh calon daripada pelbagai parti yang termasuk UPKO, Parti Impian Sabah, GRS, dan lain-lain untuk merebut kerusi DUN Kuamut.


Demikian respons calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, apabila ditanya mengapa Barisan Nasional (BN) tidak meletakkan calon di DUN tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 kali ini.

Ini kerana DUN Kuamut merupakan kubu kuat BN sejak 2004 menerusi Johnny @ Juni Intang, manakala bermula 2008, 2013 dan 2020 menerusi Masiung.

Bagaimanapun pada 2020, Masiung yang berjaya mengekalkan kedudukan di DUN tersebut untuk penggal keempat, bertanding di atas tiket Bebas.

Terdahulu, calon dan penyandang kerusi DUN Lamag, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengulas keputusan BN untuk tidak meletakkan calon di DUN Kuamut, selepas menilai keadaan di kawasan berkenaan.

“Keperluan di sana amat sukar ketika ini. Jadi kita memberi (peluang) kepada parti-parti lain untuk bertanding.

“Kita akan melihat parti mana yang akan kita sokong di DUN Kuamut,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Untuk PRN kali ini, Masiung bakal berdepan cabaran daripada tujuh calon bagi mempertahankan kerusi DUN Kuamut.

Ia selepas Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Yuesri Ismail Yusof, mengumumkan lapan calon melibatkan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Parti Impian Sabah (PIS), GRS dan Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) akan bertanding bagi merebut kerusi DUN tersebut.

Selain itu empat parti lain melibatkan Warisan, Bebas, Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

UPKO diwakili Mohina Sidom, Ted Kelvin Sudin (PIS), John Singkuang (PPRS), Norfaizah Chua (Warisan), Duin Bintarang (Bebas), Abu Bakar Ellah (KDM) dan Jevronnie Mandek (STAR).


#Calon PRN Sabah #masiung banah #DUN Kuamut #Bung Moktar Radin