Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
POLITIK

[TERKINI] PRN Sabah: Komitmen GRS kembalikan Sabah ke landasan terbaik - Hajiji

Bernama 20/11/2025 | 09:07 MYT
Hajiji bercakap kepada pemberita pada majlis penyerahan geran subsidiari 1Borneo kepada USIA oleh Jabatan Tanah dan Ukuran Sabah di Menara Kinabalu hari ini. - Foto Bernama
KOTA KINABALU: Komitmen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperkukuh pembangunan dan melonjakkan hasil negeri sepanjang lima tahun menerajui pentadbiran telah mengembalikan semula Sabah ke landasan terbaik, kata Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor.


Ringkasan AI
  • Komitmen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor memperkukuh pembangunan Sabah serta meningkatkan hasil negeri, khususnya melalui peningkatan aktiviti ekonomi dan bantuan pendidikan yang besar.
  • Kejayaan kerajaan negeri Sabah dalam meningkatkan hasil negeri kepada RM8 bilion daripada sebelumnya RM3 bilion serta menyelesaikan isu bekalan air dianggap sebagai pencapaian besar yang mesti dilihat oleh rakyat.
  • Hajiji menegaskan keyakinan GRS untuk memenangi lebih 40 daripada 55 kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dengan menekankan konsep politik pembangunan serta menolak dakwaan video tular mengenai isu rasuah sebagai motif politik yang tidak baik.


Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah berkata kerajaan negeri mempunyai hala tuju lengkap merangkumi pelbagai aspek seperti ekonomi, infrastruktur, kesejahteraan, pendidikan, pembangunan modal insan, selain iltizam untuk menyelesaikan isu bekalan air yang dianggap sebagai isu legasi.

"Kami dapat meningkatkan aktiviti ekonomi melalui pelbagai sektor selain memberi bantuan kepada pelajar di seluruh Sabah. Bantuan pendidikan ini paling besar dalam sejarah Sabah, hampir lima tahun kami belanja RM1.3 bilion, begitu juga dengan (bantuan) biasiswa ditingkatkan.

"Kami juga berjaya mengadakan perjanjian (kerjasama komersial) dengan PETRONAS. Hasil negeri pula meningkat kepada RM7 bilion, berbanding RM3 bilion masa kami ambil alih kerajaan negeri dulu. Sekarang sudah lebih RM8 bilion. Ini satu kejayaan besar dan rakyat mesti lihat ini semua," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis penyerahan geran subsidiari 1Borneo kepada Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Hajiji mengulas mengenai teras keyakinan GRS untuk memenangi lebih 40 daripada 55 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada 29 Nov ini.

Semalam, Hajiji berkata GRS yakin menang majoriti mudah bersandarkan kekuatan jentera parti, sokongan padu akar umbi dan kerjasama mantap yang ditunjukkan oleh semua parti komponen dalam gabungan itu.

Beliau berkata konsep politik pembangunan termasuk kesungguhan memperkasa kesejahteraaan rakyat menerusi bantuan tunai RM300 sebulan kepada 100,000 penerima dan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) turut diyakini berupaya mempengaruhi pengundi untuk memilih GRS pada PRN ke-17.

"Kami harap rakyat faham ini. Jangan salah pilih, kalau salah pilih, masalah kita. Kita sudah berada di landasan yang betul untuk bawa Sabah ke mercu kejayaan dan kemajuan pada masa akan datang," katanya.

Mengenai video-video tular mengaitkan dakwaan isu rasuah perlombongan mineral di Sabah, Hajiji berkata ia mempunyai motif politik dan niat tidak bagus.

"Apa yang rasuah? Kita batalkan permohonan mereka dalam cari gali mineral. Habis (selepas) itu keluar (video) kalau kita tidak luluskan. Itu semua mempunyai motif politik yang jahat, rakyat mesti faham. Kita tidak boleh hidup dalam keadaan seumpama ini. Kita mahu maju ke depan.

"Itulah keluarlah video. Orang dari sana datang sini mahu mengajar kita. Patut dia ada disiplin. Sopanlah, datang negeri orang cari rezeki bagus-bagus," katanya.

-- BERNAMA

#Calon PRN Sabah #Hajiji Noor #GRS #terkini