POLITIK

[TERKINI] PRN Sabah: Pemilihan calon kali ini paling mencabar - Hajiji

Hasimi Muhamad 13/11/2025 | 05:26 MYT
GRS meletakkan calon di 55 kerusi pada PRN17, dengan sekitar 33 peratus adalah muka baharu. - Gambar fail/Astro AWANI
TUARAN: Datuk Seri Hajiji Noor, menyifatkan proses pemilihan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini sebagai yang paling mencabar.


Ringkasan AI
  • Datuk Seri Hajiji Noor menggambarkan proses pemilihan calon untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini sebagai paling mencabar, dengan setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) mempunyai tiga hingga empat individu berpotensi tinggi untuk diketengahkan.
  • Hajiji menyatakan bahawa keputusan untuk memilih calon adalah sukar kerana setiap individu mempunyai pengaruh dan sumbangan, tetapi hanya satu boleh dipilih, yang mewakili cabaran yang dihadapi.
  • Walaupun menerima pandangan untuk menukar calon di beberapa kawasan, Hajiji menegaskan kejayaan memenangkan parti adalah yang terutama bagi memastikan dasar dan hala tuju yang diperkenalkan dapat diteruskan serta menyeru semua pihak bersatu hati menyokong calon-calon GRS.


Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata, cabaran itu timbul apabila setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) mempunyai tiga hingga empat individu berpotensi tinggi untuk diketengahkan sebagai calon, yang masing-masing mempunyai pengaruh, sumbangan serta peluang besar untuk menang.

Jelas Hajiji, beliau telah mengerah tenaga dan fikiran sebelum membuat keputusan bagi memastikan kemenangan calon-calon yang mewakili GRS.

“Semua baik-baik ada pengaruh, ada sumbangan, boleh menang dalam pilhan raya tetapi kita hanya boleh memilih satu.

“Saya tak boleh pilih dua, hanya satu, disinilah masalah timbul kepada saya kerana semua penyokong, pemimpin kita yang telah menyumbang kepada kebaikan parti dan GRS,” katanya.

Beliau berucap semasa Majlis Penutupan Hari Sukan dan Sambutan Hari Keluarga UPPM Parlimen Tuaran, di sini hari ini.

Ketua Menteri Sabah itu turut mendedahkan sehingga pagi Khamis, beliau masih menerima pelbagai pandangan agar ditukarkan calon di beberapa kawasan.

Namun, tegas beliau apa yang lebih penting adalah kejayaan memenangkan parti untuk membentuk kerajaan.

Kemenangan itu, katanya penting bagi memastikan dasar dan hala tuju yang telah diperkenalkan sepanjang menerajui Sabah selama lima tahun dapat diteruskan.

“Memang tidak dapat dinafikan akan ada rasa tidak puas hati apabila hanya seorang yang dipilih, tetapi sebagai pemimpin kita mesti ada sifat tolak ansur dan pengorbanan,” katanya.

Sehubungan itu, Presiden Parti Gabungan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu menyeru semua pihak boleh bersatu hati, dan menyokong calon-calon GRS.

GRS meletakkan calon di 55 kerusi pada PRN17, dengan sekitar 33 peratus adalah muka baharu.


#PRN Sabah #Hajiji Noor #pengumuman calon #pilihan raya negeri #terkini