POLITIK

[TERKINI] PRN Sabah: Pemilihan calon PKR bukan eksklusif, yang penting menang

Umavathi Ramayah 12/11/2025 | 11:37 MYT
Saifuddin berkata adalah perkara biasa dalam dunia politik apabila terdapat calon yang pernah menyertai beberapa parti sebelum ini. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
PUTRAJAYA: PKR kekal sebagai sebuah parti yang terbuka dan inklusif dengan proses pemilihan calon dibuat berdasarkan kebolehmenangan serta pertimbangan menyeluruh oleh Jawatankuasa Pilihan Raya parti, bukan semata-mata pada tempoh keahlian seseorang dalam parti.

Menteri Dalam Negeri yang juga Pengarah Bersama Pilihan Raya PKR Pusat, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata dalam dunia politik ianya menjadi lumrah apabila terdapat calon yang pernah menyertai beberapa lain parti sebelum ini, kerana yang lebih penting ialah keupayaan mereka utntuk menyumbang kepada kemenangan parti.

"Ada dua tiga orang daripada 10 calon yang dinamakan itu (pernah sertai parti lain). Saya ikuti reaksi terhadap pengumuman itu, tapi bagi saya yang sudah bersama PKR sejak April 1999 dan melalui Pilihan Raya (Umum) 1999, 2004, 2008, 2013, 2018 dan 2022, itu lumrah.

"PKR ini parti terbuka, parti yang inklusif, bukannya eksklusif. Orang yang semalam belum masuk parti, hari ini masuk dan jadi calon pun ada. Orang yang dari awal bersama membina parti kemudian jadi calon pun ada.

"Kita mengambil kira semua faktor dengan pertimbangan utama ialah kebolehmenangan calon. Saya percaya jawatankuasa telah melakukan penelitian menyeluruh terhadap setiap aspek, termasuk calon-calon yang mempunyai rekod penyertaan dalam pelbagai parti sebelum ini," katanya pada sidang media selepas menghadiri Simposium Kecerdasan Buatan Transformasi Keselamatan 2025 di Putrajaya, di sini, pada Rabu.

Saifuddin turut menjelaskan, proses pemilihan calon dilakukan dengan teliti melalui saringan di pelbagai peringkat sebelum nama dimuktamadkan oleh pimpinan pusat.

"Nama calon yang dicadangkan bukan dipetik tiba-tiba. Ada cadangan daripada negeri, cabang dan kepimpinan pusat. Sebelum 10 nama itu diumumkan, berpuluh-puluh calon lain sudah diteliti dari semua faktor," katanya.

Saifuddin berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Simposium Kecerdasan Buatan Transformasi Keselamatan 2025 di Putrajaya, pada Rabu.

Beliau turut menambah, isu seseorang calon pernah berpindah parti tidak sepatutnya dijadikan perkara luar biasa kerana sejarah politik turut memperlihatkan tokoh-tokoh besar mengalami proses yang sama.

"Itulah lumrah politik. Presiden Pas dahulu, Burhanuddin al-Helmy, pernah masuk tujuh parti dan menjadi presiden Presiden Pas. Jadi apa yang pelik kalau seseorang itu pernah menyertai beberapa parti?" soalnya.

Sebelum ini, pemilihan beberapa calon PKR pada Pilihan Raya Negeri Sabah menerima kritikan selepas didapati ada antara mereka pernah menyertai empat parti dalam tempoh tujuh tahun, namun Saifuddin menegaskan perkara itu tidak menjejaskan prinsip keterbukaan parti.





#pilihan raya umum #PAS #pilihan raya #pilihan raya negeri #Sabah