Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
POLITIK

[TERKINI] PRN Sabah: Penerimaan rakyat Sabah terhadap PH amat positif - Nurul Izzah

Bernama 19/11/2025 | 04:10 MYT
Nurul Izzah (empat, kiri) mengadakan Tinjauan Mesra DUN Moyog di Pasar Tamu Donggongon di sini hari ini. Turut serta calon PH Remysta Jimmy Taylor (tiga, kiri). - Gambar/ Bernama
PENAMPANG: Penerimaan rakyat Sabah terhadap Pakatan Harapan (PH) serta calon parti itu yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dilihat sangat positif, kata Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.


Ringkasan AI
  • Penerimaan positif penduduk Sabah terhadap Pakatan Harapan (PH) dan calon parti tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 disebabkan oleh kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta penekanan pada isu ekonomi negeri sebelum kempen bermula, kata Nurul Izzah.
  • Rakyat Sabah yang ramah dan terbuka dilihat menilai tawaran PH secara objektif berdasarkan fakta dan prestasi parti setakat ini, menggalakkan pilihan berdasarkan fakta semasa berkempen.
  • Nurul Izzah menekankan komitmen PH untuk terus berkhidmat kepada rakyat selepas kempen dan hari mengundi, menyelesaikan masalah dalam jangka masa pendek, pertengahan, dan panjang dengan respons positif daripada penduduk Sabah.


Beliau berkata kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Sabah minggu lepas, serta memberikan keutamaan kepada pengiktirafan ekonomi negeri sebelum kempen pilihan raya bermula, antara faktor yang membawa reaksi positif penduduk.

Menyifatkan kebanyakan rakyat di Negeri Di Bawah Bayu sebagai amat peramah, Nurul Izzah berkata ia seterusnya mencerminkan keterbukaan rakyat untuk menilai tawaran PH semasa berkempen dengan berdasarkan fakta dan rekod pelaksanaan setakat ini.

"Kami minta supaya pilihan (pengundi) berasaskan fakta dan saya amat bersyukur dengan respons yang sangat positif," katanya kepada pemberita semasa mengadakan Tinjauan Mesra Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog di Pasar Tamu Donggongon di sini hari ini, yang turut disertai calon PH Remysta Jimmy Taylor.

RISE OF THE VOTERS: Kenali Haiwan Jiwa Anda. Klik untuk bermain!

Nurul Izzah yang juga Pengarah Bersama Kempen Pilihan Raya PKR berkata komitmen dan khidmat parti kepada rakyat tidak terhenti selepas tamat kempen.

"Selepas berkempen dan hari mengundi, ialah bagaimana mereka boleh memberikan khidmat dan cuba menyelesaikan masalah (rakyat) dalam jangka pendek, pertengahan dan panjang kerana kita tahu, bukan semua boleh diselesaikan 24 jam," katanya.

Pada kunjungan itu, Nurul Izzah yang meluangkan masa lebih sejam disambut mesra peniaga dan pengunjung pasar yang tidak melepaskan peluang bergambar serta merakam video sebagai kenangan.

Peniaga dan pengunjung juga tidak ketinggalan menyanyikan lagu "Selamat Hari Jadi" untuk meraikan ulang tahun kelahiran Nurul Izzah hari ini.

Hari pengundian PRN Sabah ke-17 ditetapkan pada 29 Nov manakala undi awal pada 25 Nov.

Mengikut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 1,784,843 pengundi layak menjalankan tanggungjawab mereka pada PRN kali ini terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera berserta pasangan dan 12,729 anggota polis dengan pasangan.

Untuk berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php


N26: MOYOG: SABAH: 31,084

1. Peter Maurice Lidadun (Bebas)

2. Cleftus Stephen Spine (PIS)

3. Datuk Donald Peter Mojuntin (UPKO)

4. Francis Mojikon (PN-Bersatu)

5. Richard Ronald Dompok (PKS)

6. Ricky Chang Onn Pin @ Ricky Richard (Bebas/IND)

7. Walter Norbert Johnny (PBK)

8. Joeynodd Aiiko Ronald C Bansin (GRS-PBS)

9. Mckery Victor Ninin (KDM)

10. Joseph Suleiman (STAR)

11. Terrence Siambun (Warisan)

12. Remysta Jimmy Taylor (PH-PKR)



(2020: Datuk Ignatius Darell Leiking: Warisan Plus-Warisan: Maj: 5,935)

-- BERNAMA
#PRN Sabah 2025 #Nurul Izzah #Sabah Memilih #Pakatan Harapan