Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
POLITIK

[TERKINI] PRN Sabah: Pengundi dijangka pilih parti atau calon 'less evil'

Asyraf Malik 23/11/2025 | 12:00 MYT
Kestabilan politik merupakan elemen penting untuk memastikan pembangunan asas di Sabah seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya dapat diteruskan tanpa gangguan. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sentimen pengundi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 menunjukkan kecenderungan memilih calon atau parti yang dianggap 'less evil'.

Pengarang Astro AWANI, Nazri Kahar yang mengikuti perkembangan di lapangan melaporkan, pengundi Sabah sudah melihat hampir semua gabungan besar mentadbir negeri itu dalam beberapa fasa berbeza, setiap satunya mempunyai rekod tersendiri.

"Perkara ini saya rasa menarik untuk kita perhatikan menjelang PRN Sabah. Di sini sudah pernah melalui UMNO dan Barian Nasional, Warisan, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang di dalamnya ada Parti Bersatu Sabah (PBS), begitu juga Perikatan Nasional yang dahulunya majoriti GRS adalah dari ahli Bersatu.

"Semua sudah berpeluang memegang Kerajaan Negeri Sabah, jadi tiada pemberat untuk menuding kesalahan antara satu sama lain. Masing-masing ada kebertanggungjawaban yang mereka perlu sendiri jawab.

"Terutamanya soal pembangunan asas melibatkan bekalan air, elektrik dan jalan raya," lapor Nazri dari Kota Kinabalu pada Ahad.



Tambahnya, pengundi sedar bahawa kestabilan politik merupakan elemen penting untuk memastikan pembangunan asas ini dapat diteruskan tanpa gangguan, selain membawa masuk pelaburan dan menyediakan peluang pekerjaan dengan gaji adil.

"Jika berlaku lagi perubahan kuasa, segala kemajuan dicapai akan kembali kosong kerana kerajaan baharu lazimnya mengkaji semula kontrak dimeterai kerajaan terdahulu dan menggantikan dengan kontraktor lain.

"Banyak projek sedia ada memakan masa untuk siap kerana pelan jangka pendek atau panjang oleh kerajaan dahulu dimulakan semula, contohnya projek Lebuhraya Pan Borneo," ulas Nazri.

Menyentuh isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Nazri menjangkakan sebarang gabungan Kerajaan Negeri Sabah yang berjaya dibentuk akan menjaga hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan.

"Setiap pembangunan di Sabah memerlukan berbilion-bilion ringgit, jadi mereka (ahli politik Sabah) sedar bahawa tanpa Persekutuan, Sabah tidak boleh menyelesaikan isu tertunggak seperti bekalan air, elektrik dan jalan.

"Saya katakan ini tatkala sekarang sedang hangat pidato dan retorik yang bertemakan 'Sabah First'. Pada pandangan saya, sewajarnya kerjasama antara Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan diteruskan untuk melunaskan tuntutan MA63," ujar Nazri.
#PRN Sabah #sentimen pengundi #Gabungan Rakyat Sabah #Warisan #Parti Bersatu Sabah #PBS #Perikatan Nasional #kestabilan politik