POLITIK

[TERKINI] PRN Sabah: Penyanyi Abu Bakar Ellah calon KDM di DUN Kuamut, anak Peter Anthony di Melalap

Hasimi Muhamad 13/11/2025 | 08:18 MYT
Abu Bakar merupakan antara 39 calon yang diketengahkan KDM pada pengumuman senarai calon parti itu hari ini. - Foto Astro AWANI
KOTA KINABALU: Penyanyi dan pelakon terkenal Sabah, Abu Bakar Ellah diumumkan sebagai calon Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).


Ringkasan AI
  • Abu Bakar Ellah, atau lebih dikenali sebagai "Ampal", diumumkan sebagai calon Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) bagi DUN Kuamut dalam PRN17.
  • Pemangku Presiden KDM, Priscella Peter akan bertanding di DUN Melalap, selepas bapanya, Datuk Peter Anthony, menang pada PRN16 atas tiket Parti Warisan.
  • Timbalan Presiden KDM, Datuk Wetrom Bahanda bertanding di DUN Matunggong dan tidak mempertahankan kerusi DUN Bandau yang dimenanginya sebelum ini.


Abu Bakar, 63, yang juga dikenali sebagai “Ampal”, merupakan antara 40 calon yang diketengahkan KDM pada pengumuman senarai calon parti itu hari ini.

Bagaimanapun, satu kerusi lagi iaitu Kemabong akan diumumkan KDM dalam masa terdekat.

Beliau sebelum ini pernah bertanding di kerusi sama pada Pilihan Raya Negeri 2004 atas tiket bebas.

Abu Bakar pernah meraih tempat ketiga dalam sebuah program realiti nyanyian anjuran stesen televisyen tempatan dan dikenali ramai melalui penglibatannya dalam bidang seni hiburan tanah air, khususnya di Sabah.

DUN Kuamut disandang oleh Datuk Masiung Banah, yang menang atas tiket Bebas pada PRN16 dengan majoriti 978 undi.

Pemangku Presiden Parti KDM, Priscella Peter pula akan bertanding di kerusi Melalap, yang sebelum ini dimenangi bapanya, Datuk Peter Anthony.

Peter menang kerusi berkenaan atas tiket Parti Warisan (Warisan) dengan majoriti 1,719 undi.

Peter menjalani hukuman penjara tiga tahun selepas permohonan semakan beliau terhadap sabitan dan hukuman bagi kesalahan memalsukan dokumen berkaitan kontrak penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) ditolak pada Ogos lalu.

Sementara itu, Timbalan Presiden KDM, Datuk Wetrom Bahanda bertanding di kerusi DUN Matunggong.

Ia sekali gus tidak mempertahankan kerusi DUN Bandau yang dimenanginya pada PRN16.

#PRN Sabah #Abu Bakar Ellah #DUN Kuamut #penyanyi