Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
POLITIK

[TERKINI] PRN Sabah: PH akur keputusan SPR kekalkan nama calon DUN Silam

Bernama 18/11/2025 | 07:30 MYT
Saifuddin menjelaskan bahawa PKR telah menghentikan semua gerak kerja kempen di DUN berkenaan. - Gambar fail
SANDAKAN: Pakatan Harapan (PH) menerima keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengekalkan nama Abdul Halim Sidek Gulam Hassan dalam senarai calon bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Silam pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.


Ringkasan AI
  • Pakatan Harapan (PH) menerima keputusan SPR mengekalkan nama Abdul Halim Sidek Gulam Hassan sebagai calon DUN Silam PRN Sabah ke-17, disebabkan undang-undang menghalang penarikan nama calon yang telah disahkan.
  • PKR menghentikan semua operasi kempen di DUN Silam selepas Abdul Halim menarik diri daripada PRN ke-17 berikutan perbincangan dengan pimpinan PH.
  • Nama calon PH, Abdul Halim, tetap tersenarai dalam kertas undi walaupun beliau menarik diri, kerana tiada calon dibenarkan tarik diri selepas hari penamaan calon mengikut Peraturan-Peraturan Pilihan Raya.


Setiausaha Agung PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata berdasarkan peruntukan undang-undang, nama calon yang telah disahkan bertanding tidak boleh dikeluarkan daripada kertas undi.

Beliau menjelaskan bahawa PKR telah menghentikan semua gerak kerja kempen di DUN berkenaan.

"Apabila kita kata tarik diri, maknanya semua operasi kempen dihentikan. Itu bermakna calon kita tidak lagi turun berkempen atau meraih undi.

"Undang-undang menyatakan bahawa sejurus selepas kertas penamaan calon dihantar, diterima dan disahkan oleh pegawai pengurus pilihan raya, nama calon kekal. Jadi, biarkan sahaja," katanya kepada media semasa program Sembang Santai bersama calon PH Gum Gum di sini hari ini.
RISE OF THE VOTERS: Kenali Haiwan Jiwa Anda. Klik untuk bermain!


Semalam, Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud menerusi kenyataan memaklumkan Abdul Halim menarik diri daripada PRN ke-17 selepas perbincangan diadakan bersama pimpinan tertinggi PH.

Selepas selesai proses penamaan calon PRN ke-17 pada Sabtu lepas, DUN Silam menyaksikan saingan sembilan penjuru dalam usaha meraih sokongan daripada 28,261 pengundi.

Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus, menjelaskan bahawa nama calon PH kekal tersenarai dalam kertas undi meskipun Abdul Halim menyatakan hasrat untuk menarik diri selepas hari penamaan calon.

Beliau menegaskan bahawa tiada seorang calon pun dibenarkan menarik pencalonannya selepas pukul 10 pagi pada hari penamaan, menurut Peraturan 9, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981.

SRP menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian, manakala 25 Nov untuk hari mengundi awal.


CALON BERTANDING DUN SILAM

1. Sharif Musa Sharif Mabul (BN-UMNO)

2. Datuk Mizma Appehdullah (GRS-Gagasan Rakyat)

3. Datuk Mohammad Yusof Apdal (Warisan)

4. Borkes @ Balkis Kalinggalan (PN-Bersatu)

5. Abd Halim Sidek Gulam Hassan (PH-PKR)

6. Amat Kawoh @ Abd Rahman (Bebas/IND)

7. Mohammad Enriquez (SPP)

8. Brahim Bisel (PIS)

9. Mohd Syafiq Iqhmal Saharudin (PKS)



(2020: Datu Dumi Masdal: Warisan Plus-Warisan: Majoriti: 1,542)

-- BERNAMA
#PRN Sabah 2025 #DUN Silam #calon PH tarik diri #SPR