[TERKINI] PRN Sabah: PH lancar manifesto, tumpu perkara asas
![[TERKINI] PRN Sabah: PH lancar manifesto, tumpu perkara asas [TERKINI] PRN Sabah: PH lancar manifesto, tumpu perkara asas](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/41763891035_MustaphaSakmud.jpg)
Pengerusi PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud (tengah) bersama Pengerusi DAP Sabah Datuk Phoong Jin Zhe (kiri) dan Pengerusi Amanah Sabah Datuk Lahirul Latigu memegang poster manifesto PH. - Foto Bernama
KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah hari ini melancarkan manifesto sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang menumpukan kepada perkara asas tetapi dilaksanakan melalui pendekatan yang lebih berani dan radikal.
Ringkasan AI
- Pakatan Harapan (PH) Sabah melancarkan manifesto "Komitmen Pakatan Harapan Sabah" sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 untuk memastikan kemajuan yang sewajarnya bagi rakyat Sabah.
- Manifesto tersebut menekankan pemulangan 40 peratus hasil Sabah untuk dana 10 keutamaan termasuk penyelesaian masalah infrastruktur, pendidikan, kebajikan rakyat, dan pemacuan ekonomi negeri.
- PH Sabah juga berhasrat memperkukuh hak Sabah tanpa kompromi, memacu industri bernilai tinggi, dan menjadikan Sabah sebagai pemain serantau yang berpengaruh.
"PH Sabah tidak menjanjikan bulan dan bintang, kita sangat praktikal.
"Komitmen ini adalah berasaskan aspirasi sebenar Sabah yang mahu merasai kemajuan yang sepatutnya mereka nikmati," katanya semasa melancarkan komitmen berkenaan di sini.
Turut hadir Pengerusi DAP Sabah Datuk Phoong Jin Zhe dan Pengerusi Amanah Sabah Datuk Lahirul Latigu.
Mustapha berkata senarai keutamaan manifesto itu mengandungi 10 perkara yang akan didanai oleh pemulangan 40 peratus hasil Sabah.
"PH Sabah mengambil posisi untuk bersedia mengurus pemulangan 40 peratus hak Sabah," katanya.
Beliau berkata komitmen itu diterjemahkan melalui penyusunan 10 keutamaan, termasuk keperluan menyelesaikan masalah infrastruktur air, jalan dan elektrik yang berlarutan, selain menambah baik pendidikan, kebajikan rakyat dan memacu ekonomi negeri.
Selain itu, Mustapha berkata manifesto berkenaan turut mengandungi tujuh agenda sebagai prinsip panduan pentadbiran bagi tempoh lima tahun akan datang antaranya memastikan hak Sabah tidak dikompromi, memperkukuh akauntabiliti serta integriti dan melakukan reformasi pentadbiran.
Agenda lain adalah menjadikan anak muda sebagai aset negeri, memacu industri bernilai tinggi, memperkasakan wanita dan mengangkat Sabah sebagai pemain serantau berpengaruh.
Mustapha berkata Sabah memerlukan pendekatan pentadbiran di luar daripada kebiasaan bagi membolehkan negeri itu muncul sebagai pemain serantau yang disegani.
Beliau berkata PH Sabah turut yakin bahawa hak Sabah akan terus terpelihara di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Selepas lima dekad, hanya seorang Perdana Menteri yang bersedia menyelesaikan tuntutan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Beliau ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.
Mustapha berkata manifesto yang dibentangkan hari ini adalah dinamik dan terbuka kepada penambahbaikan, selain menggalakkan orang ramai meneliti dokumen penuh secara dalam talian.
Pada PRN Sabah ke-17, PH bertanding di 21 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) terdiri daripada 12 calon PKR, DAP (lapan) dan Amanah (satu).
Hari pengundian PRN Sabah ke-17 ditetapkan pada 29 Nov, manakala undi awal berlangsung pada 25 Nov.
-- BERNAMA
Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
Dapatkan berita terkini dan info interaktif PRN Sabah 2025 di sini

Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
- Q: Berapakah bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diletakkan calon oleh Pakatan Harapan (PH) Sabah dalam PRN Sabah ke-17? A: PH Sabah bertanding di 21 daripada 73 kerusi DUN, dengan PKR mencalonkan 12 calon, DAP lapan, dan Amanah satu.
- Q: Apakah tarikh hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17? A: Hari pengundian PRN Sabah ke-17 ditetapkan pada 29 November, manakala undi awal berlangsung pada 25 November.
- Q: Siapakah yang dipercayai akan menyelesaikan tuntutan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menurut Pengerusi PKR Sabah? A: Pengerusi PKR Sabah yakin bahawa hanya Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri yang bersedia menyelesaikan tuntutan berkaitan MA63 selepas lima dekad.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

